KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah mencari kekebalan peribadi atau melarikan diri daripada pengadilan undang-undang.
Sebaliknya Anwar menegaskan, langkah undang-undang yang dimohon beliau melibatkan integriti sistem Perlembagaan dan keperluan untuk memastikan bahawa jawatan awam yang tinggi dilindungi daripada litigasi yang mungkin dirancang secara strategik, bermotifkan politik, atau mengganggu institusi.
“Petang ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan saya untuk merujuk 8 soalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara ini tidak pernah mengenai mencari kekebalan peribadi atau melarikan diri daripada pengadilan undang-undang.
“Ia melibatkan integriti sistem perlembagaan kita dan keperluan untuk memastikan bahawa jawatan awam yang tinggi dilindungi daripada litigasi yang mungkin dijadualkan secara strategik, bermotifkan politik, atau mengganggu institusi.
“Saya tetap komited sepenuhnya kepada kedaulatan undang-undang, kebebasan mahkamah kita, dan maruah tadbir urus demokratik,” jelas Presiden PKR itu dalam kenyataan media pada Rabu.
Anwar malah menegaskan proses undang-undang akan diteruskan.
“Saya akan terus melaksanakan tanggungjawab saya tanpa gangguan mahupun kompromi,” ikrar Perdana Menteri.