KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Menteri (TKM) II Pulau Pinang P Ramasamy didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas 17 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang hampir RM860,000.
Terdahulu, bekas Adun Perai itu hadir ke mahkamah bersama peguam, Shamsher Singh Thind dan beberapa penyokong, kira-kira jam 8.30 pagi sebelum dihadapkan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah,
Mengikut pertuduhan pertama hingga 13, Ramasamy, 76, dia ketika menjadi Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHPP) didakwa melakukan pecah amanah jenayah apabila secara tidak jujur menyalahgunakan harta institusi berkenaan.
Ia adalah dengan cara membuat bayaran berjumlah RM779,131.29 melalui cek dan pindahan telegraf untuk pembelian pedati emas tanpa mendapat kelulusan mesyuarat LWHPP terlebih dahulu.
Bagi pertuduhan ke-14 dan 15, bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan bayaran perbelanjaan perubatan menerusi dua cek berjumlah RM65,000.
Untuk dua pertuduhan terakhir, Ramasamy dituduh melakukan pecah amanah membabitkan pembayaran bagi bantuan kewangan pendidikan menerusi dua cek sebanyak RM15,000.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua bank di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) dan Prangin Mall, Georgetown, antara 2 Mei 2019 hingga 18 April 2023.
Ramasamy didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan, lapor BH di Pulau Pinang.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuya, manakala tertuduh turut diwakili peguam, Eng Yuh Pei dan Archana Chandrasekaran.
Ramasamy mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan sebelum mahkamah membenarkannya diikat jamin keseluruhan RM78,000, selain mematuhi semua syarat tambahan ditetapkan.
Syarat tambahan ialah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada setiap bulan. Kes akan disebut semula pada 16 Julai depan.