KUALA LUMPUR — Pemandu lori batu yang terlibat nahas mengorbankan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, ditahan untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Hilir Perak Bakri Zainal Abidin berkata, pemandu berusia 40-an yang tidak mengalami kecederaan itu ditahan pagi ini mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Ujian saringan telah dijalankan dan pemandu didapati negatif dadah. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengumpul maklumat tambahan,” katanya kepada pemberita ketika hadir di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan.
Terdahulu, sembilan anggota FRU maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori muatan batu dengan kenderaan FRU di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada 8.50 pagi.
Dalam kejadian itu, lapan mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan.
Bakri berkata, mangsa yang parah masih dirawat di zon merah Hospital Teluk Intan.
“Semua yang maut berusia 40-an terdiri tujuh anggota beragama Islam dan dua bukan Islam. Identiti semua mangsa akan dimaklumkan selepas bedah siasat,” katanya.
Katanya, mayat semua mangsa dibedah siasat pada 2.30 petang ini dan bagi jenazah beragama Islam akan disolatkan di surau IPD Hilir Perak, sebelum semuanya dibawa ke Balai Polis Sungai Senam Ipoh untuk upacara penghormatan terakhir.
Beliau turut menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan itu tampil membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan setakat ini hanya sembilan mangsa maut dalam kemalangan tersebut bukan 10 orang seperti tular di media sosial, dan punca kemalangan juga masih dalam siasatan.
Terdahulu dalam kenyataan, siasatan awal mendapati kegagalan fungsi stereng dipercayai menjadi punca lori membawa muatan batu itu merempuh bahagian hadapan kenderaan FRU.