CYBERJAYA— Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan slogan ‘Sabah for Sabahan’ sebagai retorik yang boleh memecahbelahkan perpaduan nasional menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan berteraskan sentimen wilayah semata-mata tidak memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Sabah, malah boleh menggugat hubungan erat antara negeri itu dengan kerajaan persekutuan.
“Kita mahu kerjasama antara parti di peringkat persekutuan dan negeri supaya tiada lagi sentimen ‘Sabah for Sabahan’.
Lagipun, kita semua rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui media selepas satu acara di Seberang Perai.
Zahid turut mengesahkan UMNO akan bertanding di kerusi-kerusi yang dimenangi pada PRN 2020 — termasuk beberapa kerusi yang didakwa telah dirampas atau dimanipulasi oleh pihak tertentu. Beliau menyatakan perkara itu sebagai pra-syarat sebelum sebarang rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dimuktamadkan.
“Pintu tidak ditutup dan pintu tidak dibuka seluas-luasnya supaya kita dapat kerjasama antara parti peringkat pusat dengan parti peringkat negeri supaya tidak timbul slogan Sabah for Sabahan sebab kita sebahagian Malaysia,” tambahnya.
Kenyataan beliau hadir selepas pengumuman oleh Sekretariat Kerajaan Perpaduan Jumaat lalu yang menyatakan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN. Namun, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam kenyataan balasnya, tidak menolak kemungkinan GRS akan bertanding secara solo.
Hajiji juga mengingatkan bahawa parti tempatan Sabah wajar menjadi teras pemerintahan negeri kerana lebih memahami keperluan serta budaya masyarakat tempatan.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengulas isu ini, menegaskan harapan agar GRS turut bersama dalam gabungan kerjasama menjelang PRN akan datang.