WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menggesa India dan Pakistan supaya segera menghentikan pertempuran.
Trump turut menawarkan bantuan untuk menamatkan keganasan terburuk antara dua kuasa nuklear itu dalam dua dekad.
“Sangat dahsyat. Saya mengenali kedua-duanya dengan baik dan mahu mereka segera menyelesaikannya.
“Saya mahu mereka berhenti. Mereka saling berbalas serangan, harap mereka dapat menamatkannya sekarang,” kata Trump di Rumah Putih lapor AFP.
Trump mengeluarkan gesaan itu ketika kedua-dua negara saling berbalas tembakan meriam berat di sempadan yang dipertikaikan, selepas India melancarkan serangan peluru berpandu ke atas musuh tradisinya itu.
Pertempuran sudah meragut sekurang-kurangnya 43 nyawa, susulan New Delhi mendakwa Islamabad menyokong serangan ke atas wilayah Kashmir yang dikuasai India, tetapi tuduhan itu dinafikan Pakistan.
Walaupun Pakistan sudah lama menjadi sekutu ketenteraan utama AS, Trump turut berusaha mengukuhkan hubungan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi dengan beliau dijemput ke Rumah Putih, Februari lalu.
Trump menjelaskan, beliau mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua negara dan mahu pertempuran dihentikan segera.
“AS mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua negara dan saya mahu lihat pertempuran ditamatkan.
“Jika saya boleh lakukan apa-apa untuk membantu, saya akan hadir,” katanya di Pejabat Oval.
Pada awalnya, Trump menyifatkannya serangan itu sebagai sebahagian daripada ketegangan lama antara India dan Pakistan.
Beliau turut menyebut kedua-dua negara ‘bermusuhan sejak 1,500 tahun’ walaupun kedua-dua negara itu hanya terbentuk selepas merdeka dari Britain pada 1947.
Namun, dalam tempoh 24 jam selepas serangan India pentadbiran Trump segera mengambil tindakan.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menghubungi rakan sejawatnya dari India dan Pakistan pada 2 Mei, menggesa mereka untuk membuka semula dialog bagi ‘meredakan ketegangan’ menurut Rumah Putih.