Oleh Zihan Zari
KLANG – Seramai 423 pelajar mewakili pelbagai latar belakang, termasuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, B40 dan luar bandar terpilih sebagai penerima biasiswa Yayasan Selangor (YS) yang bernilai keseluruhan RM2,015,250.00
Majlis penyerahan surat tawaran biasiswa telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YS, Raja Nazirin Shah Raja Mohamad kepada penerima di Dewan Bestari Asrama YS, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pemangku Ketua Bahagian Pendidikan YS, Zaini Sulaiman.
Raja Nazirin Shah berkata melalui biasiswa yang disalurkan ini, bagi memperkukuh komitmen YS dalam memperkasa pendidikan anak-anak Selangor.
“Pelajar yang terpilih akan menerima bantuan kewangan dalam bentuk Biasiswa Kecil sebanyak RM700 setahun atau Biasiswa Khas sebanyak RM1,000 setahun, selain manfaat tambahan merangkumi perbelanjaan pendidikan seperti yuran persekolahan, buku teks dan keperluan asas lain.
“YS turut memperuntukkan sekitar RM 2 juta setahun untuk menampung kos penyediaan makanan dan minuman pelajar di dua buah asrama pusatnya di Klang dan Sabak Bernam,”katanya dalam kenyataan.
“Peruntukan ini adalah sebahagian daripada usaha holistik YS dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan murid terus terpelihara.
“Selain peruntukan ini, YS juga melaksanakan pelbagai program akademik dan pembangunan sahsiah termasuk kelas bimbingan, tuisyen percuma, bengkel peperiksaan, serta program sokongan akademik seperti motivasi, jati diri dan kepimpinan.
“Kami beriltizam untuk menyediakan segala kemudahan yang diperlukan demi membantu kemenjadian murid-murid tajaan YS, ”katanya lagi.
“Para pelajar dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang dan kemudahan yang disediakan, serta berusaha menjadi insan yang serba boleh dan berdaya saing.
“Dengan segala kemudahan dan program yang diberikan, semua murid dituntut agar menjadi seorang yang serba boleh,”ujarnya.
“Seorang yang memiliki minda kelas pertama dengan pengetahuan yang luas serta berusaha mengasah kemahiran pelbagai, selain berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat
“Inisiatif berkenaan mencerminkan iltizam YS untuk terus mendukung agenda pendidikan negeri dan negara, seiring dengan hasrat melahirkan modal insan berkualiti tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara, ”ujarnya lagi. – SUARA.TV