SEOUL – Korea Utara buat pertama kalinya mengesahkan penghantaran tentera bagi berperang bersama pihak Russia menentang tentera Ukraine, atas arahan pemimpin, Kim Jong-un.
Penghantaran itu adalah sumbangan penting Korea Utara dalam pembebasan wilayah Russia yang diduduki Ukraine.
Minggu lalu, Moscow memberitahu bahawa pasukan Ukraine sudah diusir keluar dari perkampungan terakhir Russia yang mereka kuasai.
Bagaimanapun, Kyiv menafikan dakwaan itu dan berkata bahawa tentera mereka masih beroperasi di Belgorod, satu lagi wilayah yang bersempadan dengan Ukraine, lapor Reuters.
Suruhanjaya Ketenteraan Pusat Parti Pekerja yang memerintah Korea Utara berkata, keputusan untuk menghantar tentera dibuat oleh pemimpin, Jong-un berdasarkan perjanjian perkongsian strategik menyeluruh yang ditandatangani dengan Putin tahun lalu.
“Di bawah arahan ketua negara, sub-unit angkatan bersenjata Korea Utara menganggap wilayah Russia sebagai sebahagian daripada tanah air mereka sendiri.
“Ini membuktikan pakatan kukuh antara kedua-dua negara, mereka yang berjuang untuk keadilan adalah wira dan wakil kehormatan tanah air,” lapor KCNA yang memetik kenyataan Suruhanjaya itu.
Korea Utara menganggap ia adalah satu penghormatan untuk mempunyai pakatan dengan negara berkuasa seperti Persekutuan Russia, lapor KCNA lagi.
Pegawai Ukraine berkata Korea Utara menghantar kira-kira 14,000 tentera secara keseluruhan, termasuk 3,000 anggota tambahan untuk menggantikan kehilangan ketara anggota dalam pasukan awal.
Kekurangan kenderaan berperisai dan pengalaman peperangan menggunakan dron menyebabkan mereka mengalami korban yang tinggi, namun cepat menyesuaikan diri.
Sabtu lalu, Russia buat kali pertama mengesahkan bahawa tentera Korea Utara bertempur bersama pasukannya di Kursk.
Sebelum ini, baik Russia mahupun Korea Utara tidak pernah mengesahkan atau menafikan penghantaran tentera berkenaan.