KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen Besut baru-baru ini memutuskan ahli perniagaan, Datuk Mohamad Azlan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Datuk Azlan Al Amin tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung urus niaga dua hartanah.
Sebelum ini, Shahruldi Mahafiz Ramli, 52, sebagai Pentadbir Harta Pusaka Estet milik bapanya, Ramli Hassan telah memfailkan saman terhadap Azlan Al Amin selaku defendan bagi menuntut antara lain sejumlah RM 590,000 yang merupakan wang hasil jualan hartanah milik si mati, ganti rugi am, faedah dan kos.
Hal ini kerana dia mendakwa Azlan Al Amin telah menerima wang hasil jualan berjumlah RM 590,000 iaitu hasil wang jualan bagi dua lot hartanah yang dimiliki oleh simati secara salah di sisi undang-undang dan ekuiti.
Plaintif kemudian mencabar kesahihan urusniaga kedua hartanah milik arwah Ramli di mana urus niaga tersebut sebenarnya telah selesai pada 2018 dan Allahyarham kemudian meninggal dunia pada 2021 tanpa mempersoalkan apa-apa prejudis ke atas urusan dan transaksi dua hartanah tersebut yang berlaku dalam pengetahuan si mati sendiri.
Defendan yang menafikan dakwaan itu menerusi dalam pembelaannya menyatakan wang hasil jualan tersebut diterima olehnya pada sekitar tahun 2018 kerana wang tersebut merupakan balasan bagi suatu lagi jual beli hartanah lain melibatkan beliau dengan si mati ketika masih lagi hidup sebelum Allahyarham Ramli meninggal dunia pada 20 April 2021.
Setelah mengambil kira hujah-hujah kedua pihak, Hakim Mahkamah Sesyen Besut pada 23 Mac 2025, Hakim Ahmad Fadhli memutuskan bahawa tuntutan Shahruldi Mahafiz ditolak dengan kos sebanyak RM15,000 dan jumlah ini hendaklah dibayar kepada defendan
Hakim dalam alasan ringkasnya menyatakan bahawa plaintif tidak mempunyai sebarang hak di sisi undang-undang untuk menuntut terhadap defendan bagi menuntut wang hasil jualan tersebut.
“Hal ini adalah kerana di dalam Surat Pentadbir Harta Pusaka si mati, tidak ada dinyatakan bahawa wang hasil jualan dua lot hartanah tersebut adalah merupakan harta si mati,” katanya.
Selain itu, penghakiman menyatakan plaintif tidak berhak untuk menuntut wang hasil jualan tersebut kerana ia merupakan balasan bagi suatu lagi jual beli hartanah lain yang melibatkan defendan dengan si mati di mana dalam transaksi tersebut plaintif tidak terlibat.
“Selain itu, hakim menyatakan defendan berhak untuk menerima wang hasil jualan tersebut kerana wang hasil jualan tersebut telah diserahkan oleh peguam yang mengendalikan transaksi urusan jual beli dua lot hartanah tersebut kepada defendan adalah atas arahan si mati sendiri,” katanya.
Selain itu, terdapatnya suatu surat akuan si mati yang mengesahkan wang hasil jualan tersebut hendaklah diserahkan kepada defendan dan si mati membuat pengakuan tidak akan membuat apa-apa lagi tuntutan.
Kemenangan Azlan Al Amin ini sekali gus menolak tohmahan buruk oleh Shahruldi Mahafiz sebelum ini dan secara tidak langsung dapat membersihkan nama baik usahawan tersebut.