CYBERJAYA — Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menyeru agar isu tanah Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman diselesaikan secara aman oleh pihak-pihak yang terlibat secara langsung. Beliau menegaskan bahawa hanya tiga pihak iaitu pemilik tanah, jawatankuasa kuil, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang perlu terlibat dalam perbincangan, manakala pihak lain dinasihatkan agar tidak campur tangan.
“Mereka (pemilik tanah dan jawatankuasa kuil) ingin menyelesaikan perkara ini secara baik, dan DBKL bertindak sebagai pemudah cara. Tiga pihak ini sudah mencukupi, yang lain tidak perlu masuk campur,” jelas Fahmi ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa bersama penduduk Lembah Pantai di sini.
Fahmi, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, turut menjelaskan bahawa status penggunaan tanah dan pemilikan telah ditetapkan sejak Rancangan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 digazetkan. “Oleh itu, biarlah pemilik tanah menyelesaikan isu ini secara baik,” katanya.
Menurut DBKL, rancangan pemindahan kuil itu berikutan cadangan pemilik tanah, Jakel Trading Sdn Bhd, untuk membina sebuah masjid di lokasi tersebut. Jakel Trading telah bersetuju menanggung kos pemindahan dan mengesahkan bahawa perbincangan dengan jawatankuasa kuil telah berlangsung selama lebih sepuluh tahun.