KUALA LUMPUR – Pemilik syarikat pembungkusan minyak masak bersubsidi, Datuk Mohd Farid Mohamad Ali yang sebelum ini berdepan 52 pertuduhan berhubung tuntutan palsu pembekalan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit yang membabitkan jumlah RM1.5 juta telah dilepas dan dibebaskan sebelum perbicaraan kes dimulakan.
Farid berkata, ketika sesi pengurusan kes pada 14 April 2023 pihak pendakwaan memaklumkan mereka tiada bantahan kepada permohonan beliau untuk meminda keputusan ‘dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA)’ kepada ‘dilepaskan dan dibebaskan (DAA).
“Justifikasi terhadap permohonan ini adalah kerana kesemua pendakwaan ke atas saya telah di tarik balik pada 20 Jun 2022 dan segala dokumen-dokumen dan telefon bimbit juga telah dikembalikan oleh pihak SPRM sejak dari tahun lepas lagi.
“Susulan dari itu, Yang Mulia Hakim pada hari ini 10 Mei 2023 telah memberikan perintah ‘dilepaskan dan dibebaskan (DAA)’ kepada saya,” kata Farid dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar beliau lagi, berkat kesabaran dan mengambil konsep mempertahankan maruah diri akhirnya kebenaran terbukti dengan perintah ‘dilepaskan dan dibebaskan (DAA)’ yang di berikan oleh hakim pada hari ini.
Lebih-lebih lagi kerana perintah ini diberikan sebelum perbicaraan kesnya di mulakan, kata Farid.
Menurut beliau, syarikat Alfa Consortium Berhad miliknya pada masa ini adalah pembekal utama minyak masak bersubsidi untuk asnaf di seluruh Selangor.
“Di mana syarikat membekalkan terus kepada sembilan Daerah di Selangor kepada anak syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk diagihkan kepada asnaf-asnaf negeri Selangor.
“Saya mengambil jalan yang lebih berkat dengan menjadi pembekal utama minyak masak bersubsidi kepada asnaf Selangor walaupun keuntungan nya adalah lebih kecil jika dibandingkan dengan pembekalan kepada pemborang-pemborang lain. Ternyata ianya lebih berkat kerana Allah memberi rezeki di dalam bentuk perniagaan lain kepada saya.
“Sekali lagi saya merakamkan ucapan terima kasih kepada keluarga dan sahabat handai saya yang menyokong dan memberikan semangat kepada saya untuk menempuh waktu yang sangat mencabar itu. Episod ini mengajar saya untuk menjadi insan yang lebih istiqamah dan sememangnya apa yang lebih penting adalah kerja-kerja kebajikan untuk kebaikan ummah secara amnya,” katanya.
Untuk rekod, mengikut pertuduhan pertama hingga ke-52, Farid didakwa telah memberikan suatu dokumen iaitu Penyata Tuntutan Bayaran Bantuan Kewangan Kepada Kilang Penapis/Pembungkus Minyak Masak Sawit Tulen yang mengandungi butiran matan palsu bagi tempoh antara Januari 2019 hingga Mac 2020 berjumlah keseluruhan RM1,596,341.40 kepada tiga orang kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).