KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan bahawa matlamat sama sekali tidak menghalalkan cara.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar, Sanusi dilihat cuba meraih simpati dan menampakkan dirinya sebagai ‘hero’ Kedah serta Melayu yang wajar dipertahankan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tanpa mempedulikan perkara-perkara lain.
“Nampak seolah-olah beliau cuba menggambarkan bukan saja dirinya malah negeri ini dan rakyatnya sedang dianiaya.
“Bagi saya tindakan ini bukanlah sesuatu yang baik kerana beliau mungkin akan menang dalam pilihan raya dengan cara sedemikian jika rakyat percaya perkara-perkara itu, tetapi rakyat tidak mendapat apa-apa pun,” katanya di Alor Setar semalam.
Tegas Mahfuz lagi, Sanusi tidak seharusnya menyogok pemikiran anak-anak muda dengan pemikiran salah untuk menerima sesuatu perkara yang tidak disertakan dengan bukti demi kepentingan politiknya.
Kata beliau, tindakan sedemikian merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab ketika anak-anak muda masih baru untuk mengenali sepak terajang dunia politik.
Mahfuz berkata, dalam kenyataan terbaru, Sanusi langsung tidak mengemukakan bukti mahu pun mendedahkan pihak mana yang didakwa cuba menyingkirkan beliau daripada mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara.
“Malangnya ini bukan kali pertama beliau buat begitu dan perkara ini boleh menjurus kepada fitnah. Sepatutnya beliau perlu dedahkan kepada masyarakat untuk kita ketahui siapa kononnya mengetuai gerakan menyingkirkan dirinya daripada Majlis Kewangan Negara seperti didakwa.
“Beliau tak sepatutnya melontarkan sesuatu perkara demi mendapat persepsi positif orang ramai terhadapnya, semata-mata demi kepentingan politik. Apatah lagi perkara itu turut diucapkan di depan hadirin yang rata-ratanya anak muda serta pelajar pada Majlis Iftar Anak Kedah di Shah Alam, Ahad lalu.
“Saya fikir tak seharusnya kita membentuk minda golongan muda agar dengan pemikiran sedemikian rupa agar menerima bulat-bulat sesuatu perkara walaupun tanpa ditunjukkan bukti,” katanya lapor Utusan.
Kelmarin, Muhammad Sanusi mendakwa terdapat usaha menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norizan Khazali sebagai penggantinya dalam Majlis Kewangan Negara, namun beliau menegaskan tidak akan membiarkan perkara itu berlaku dan masih tidak mempunyai bukti kerana gerakan tersebut belum menjadi realiti.
Mengulas lanjut, Mahfuz juga mendakwa Sanusi seolah-olah sengaja mencipta isu bagi melawan politik dengan adu domba.
Tambah beliau lagi, Sanusi seharusnya tahu untuk membezakan pentas bagi bercakap hal-hal politik sebagai seorang ahli politik dan pentas bagi bercakap mengenai hal ehwal negeri selaku Menteri Besar.
“Dalam majlis di Shah Alam yang dihadiri kebanyakannya anak muda, beliau sewajarnya bercakap mengenai visi dan misi untuk generasi muda di Kedah. Bagaimana mahu memajukan Kedah atau perkara seumpama dengannya.
“Namun akhirnya beliau tidak membawa ‘wajah’ sebagai pemimpin negeri atau ketua kerajaan sebaliknya membawa sentimen politik. Bagi saya tindakan sebegitu sangat tidak wajar,” bidas Mahfuz.