KUALA LUMPUR: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) memutuskan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Pengerusi yang juga Ketua Penyelaras Putra Sabah, Jeffrus Maimin Rijan dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat badan perhubungan parti itu di Kota Kinabalu, semalam.
Jeffrus berkata, keputusan untuk tidak bertanding juga merupakan strategi masa depan Putra memandangkan parti itu masih baharu.
Katanya, ia turut mengambil kira struktur parti itu yang belum tersusun, selain keadaan pergolakan politik Sabah dan PRN yang diadakan secara mengejut.
“Walaupun ada pimpinan bahagian yang sedia bertanding dengan semangat berkobar-kobar, tetapi keputusan telah dibuat bahawa Putra Sabah tidak akan menyertai PRN Sabah yang diadakan secara mengejut ini.
“Ianya adalah keputusan perjuangan demi strategi masa depan Putra Sabah. Biarlah parti politik Sabah yang berkecamuk dengan berbagai isu bertarung sesama mereka dan biar rakyat menilai kredibiliti mereka untuk masa depan rakyat Sabah,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata Putra Sabah akan mengambil langkah seiring dengan Putra Pusat memberi tumpuan kepada pengukuhan struktur organasasi di semua peringkat dan mempersiapkan jentera untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Putra Sabah pasti akan menyertai PRU15 dan akan bertarung merebut kerusi Parlimen bagi membawa suara pribumi Sabah di Parlimen,” katanya.
Berikutan keputusan tidak bertanding pada PRN kali ini, Jeffrus berkata Putra Sabah mengambil pendekatan berkecuali iaitu tidak menyokong mana-mana parti atau gabungan parti yang akan bertanding.
Tegasnya, pimpinan parti juga tidak membenarkan nama parti itu digunakan dalam kempen PRN nanti.