SHAH ALAM – Polis memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan memiliki, membeli, menjual dan mengedarkan senjata api tiruan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata ia susulan pihaknya menerima aduan kegusaran orang awam berhubung urusan pembelian, penjualan serta pengedaran senjata api tiruan atau senjata angin menerusi dalam talian yang sangat mudah diperoleh.
“Masyarakat dinasihatkan tidak terbabit dalam aktiviti berkenaan atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
“(Contohnya), tahun lalu tindakan undang-undang diambil berhubung satu kes melepaskan tembakan menggunakan senjata tiruan di Shah Alam, dan suspek dituduh mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan didenda RM1,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata, penggunaan senjata api tiruan tanpa sah ini boleh mendatangkan kecederaan sehingga menyebabkan kecederaan parah atau kematian.
“Bagi kesalahan mengakibatkan cedera boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.
“Bagi kesalahan menyebabkan cedera parah boleh dihukum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebatan.
“Sekiranya mengakibatkan kematian, boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati,” katanya. – Hmetro