KWSP Kini Fokus Bantu Ahli Bina Semula Simpanan Persaraan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini fokus dalam membantu ahli membina semula simpanan demi masa depan persaraan mereka berikutan penyediaan beberapa kemudahan pengeluaran yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Kemudahan pengeluaran itu bersifat luar biasa dan diperkenalkan berikutan pandemik yang telah memberikan impak besar terhadap ekonomi negara.

Pengeluaran yang dimaksudkan, iaitu i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra, telah mengakibatkan sejumlah RM101 bilion telah dikeluarkan dan disalurkan kepada lebih 7.4 juta ahli atau lebih separuh jumlah keseluruhan ahli KWSP.

Walaupun pengeluaran itu telah memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli semasa pandemik dan pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KWSP berkata, jumlah simpanan yang telah dikeluarkan kini telah menyebabkan seramai 6.1 juta ahli mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, yang mana daripada jumlah itu, seramai 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000, seterusnya menjadikan mereka lebih rentan dan tanpa perlindungan persaraan.

“Kejatuhan dalam jumlah simpanan ini ternyata lebih merisaukan untuk ahli Bumiputera, memandangkan seramai 78 peratus atau lebih tiga perempat telah memohon untuk kemudahan pengeluaran berkenaan.

“Akibatnya, seramai 4.4 juta atau 54 peratus, ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dan dua juta atau 25 peratus mempunyai kurang daripada RM1,000. Tambahan lagi, pengagihan simpanan telah menjadi semakin tidak saksama,” katanya dalam satu kenyataan.

KWSP berkata, kumpulan 40 peratus terbawah ahli KWSP iaitu lebih kurang lima juta ahli menyaksikan simpanan mereka jatuh sebanyak 38 peratus kepada hanya RM8 bilion, menjadikan baki simpanan median sebanyak RM1,005.

Ia berkata, kumpulan 40 peratus pertengahan juga mengalami kejatuhan sebanyak 18 peratus kepada RM155 bilion, atau baki median sebanyak RM24,995.

“Hanya kumpulan 20 peratus teratas yang berumur di bawah 55 tahun menyaksikan kenaikan dalam simpanan, namun ini mencapai

median berjumlah RM152,043, atau bersamaan dengan hanya RM633 sebulan untuk 20 tahun.

“Ketiga-tiga pengeluaran luar biasa ini telah menyebabkan 733 peratus atau hampir tiga perempat, ahli berada dalam situasi serius yang mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan,” katanya.

KWSP menganggarkan ahli perlu bekerja antara 4-6 tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan semasa pandemik, yang juga telah mengakibatkan kejatuhan yang ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus pada 2020 kepada anggaran 27 peratus pada hujung tahun ini.

Ia berkata, berikutan keperluan untuk melindungi masa depan ahli dan membina semula dana persaraan mereka, sebarang pengeluaran luar biasa tambahan pada masa hadapan perlu dipertimbangkan dengan teliti.

KWSP berharap langkah yang dilaksanakan untuk menyokong pemulihan ekonomi dan merangsang pekerjaan akan membantu ke arah memenuhi keperluan rakyat, katanya.

“Pelan Pemulihan Nasional yang disokong oleh kejayaan besar program vaksin telah menyaksikan usaha memperbaiki situasi pandemik dilakukan secara beransur-ansur tetapi konsisten, seterusnya membuka jalan kepada pemulihan ekonomi.

“Kes harian COVID-19 dan kemasukan ke hospital telah menurun secara konsisten, membolehkan sektor ekonomi dapat dipulihkan semula sementara rakyat Malaysia keluar semula bekerja dan sekali gus memperbaiki taraf hidup mereka,” katanya.

Selain itu, KWSP berkata, Bajet 2022 yang dibentangkan baru-baru ini menyaksikan peruntukan RM8.2 bilion untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan RM4.8 bilion untuk Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja), serta pelbagai langkah untuk membantu rakyat, seterusnya mencerminkan pendirian kerajaan dalam memperkukuhkan agenda perlindungan sosial untuk rakyat Malaysia.

Pengurus dana persaraan itu berkata, usaha itu juga dapat dilihat melalui kesinambungan insentif i-Saraan dan Kasih Suri Keluarga Malaysia.

“Usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu ke arah menangani sebarang kepincangan sistem perlindungan sosial negara untuk masyarakat rentan, bagi memastikan mereka diberi akses kepada mencapai taraf hidup minimum biarpun dalam persekitaran yang tidak dijangka,” katanya.

KWSP berkata, agenda perlindungan sosial yang diterajui oleh Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC), yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, kini sedang mengkaji pembaharuan asas kepada sistem perlindungan sosial negara.

Ia menyokong penuh langkah itu dan akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan masa depan yang terjamin dan terpelihara untuk ahli dan rakyat. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat