Bekas Pesakit COVID-19 Diminta Tampil Sertai Kajian

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Bekas pesakit COVID-19 yang sudah pulih diminta untuk tampil menyertai kajian dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai virus berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata bagi memastikan KKM dapat melaksanakan satu kajian bermakna ataupun ditafsirkan dengan baik, pihaknya memerlukan 275 individu yang dijangkiti dan sudah pulih daripada jangkitan wabak berkenaan.

“Tetapi, setakat ini kita hanya ada 106 orang yang telah didaftarkan dalam kajian tersebut,” katanya pada sidang media harian berkenaan perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata individu berkenaan digalakkan menyertai kajian itu untuk melihat status antibodi mereka sama ada berkekalan atau sebaliknya.

“Pada setiap tiga bulan, kita akan jalankan rawatan susulan kepada mereka yang telah pulih untuk melihat perkembangan terkini dan menggalakkan mereka menyertai kajian tersebut supaya kita dapat melihat kepada antibodi itu sama ia ada berkekalan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata banyak persoalan mengenai virus itu memerlukan maklum balas dan kajian yang dilakukan akan memberikan jawapan terhadap perkara berkenaan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebarang pilihan raya masih tidak sesuai diadakan sehingga pandemik COVID-19 di negara ini, terkawal dan kadar kebolehjangkitan (RO) berada di bawah 0.3.

Bagaimanapun, beliau berkata jika pilihan raya tersebut terpaksa diadakan, KKM mencadangkan tiga perkara yang perlu diberikan perhatian iaitu tiada rentas sempadan, tiada perhimpunan ramai dan tiada tinjauan mesra dan kempen dari rumah ke rumah.

“Pada masa ini, masih belum sesuai pilihan raya diadakan kerana RO masih belum mencapai sasaran iaitu (bawah) 0.3.

KKM mengambil maklum jika pilihan raya perlu diadakan mengikut ketentuan undang-undang, kita cadangkan tiga prinsip tersebut untuk kurangkan kesan penularan wabak COVID-19,” katanya.

Beliau berkata KKM masih berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya jika ia terpaksa diadakan.

Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi, meminta agar Pilihan Raya Umum (PRU) segera diadakan selepas pandemik COVID-19 dapat dikawal dan berada di tahap minimum.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat