Najib Antara Terawal Bangkit Isu Ceroboh Tanah Di Raub, MB Pahang Beri Penelitian

- Advertisement -

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan beliau tidak pernah bersuara mengenai isu 111 pekebun durian yang meneroka tanah kerajaan negeri secara haram di sekitar Raub, Pahang.

Malah Najib menegaskan bahawa beliau adalah antara yang terawal membangkitkan atau menyentuh soal tanah kebun berkenaan.

Menurutnya, selepas perkara itu dibangkitkan, beliau dimaklumkan oleh Menteri Besar Pahang, bahawa isu itu dalam perhatian dan sedang diteliti.

“Ada yang tuduh saya tak sentuh isu tanah ladang durian di Raub. Sebenarnya, saya antara paling awal memberi pendapat tentang isu ini.

“Bagaimanapun, saya diberitahu bahawa Menteri Besar Pahang sedang meneliti isu ini. Sebab itu, kita beri ruang yang sepatutnya kepada mereka untuk menjalankan tugas,” katanya di Facebook miliknya hari ini.

Najib mengulas tuduhan yang dilempar kepadanya, konon beliau tidak menyentuh langsung isu tanah ladang durian yang diusaha pekebun terbabit secara tidak sah.

Terdahulu, seramai 111 pekebun durian musang king di Raub mendapatkan perintah penggantungan sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan di beberapa lokasi di sekitar daerah Raub.

Peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua pekebun terbabit berkata, keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas mendengar hujahan daripada pemohon dan wakil responden berhubung tuntutan tersebut.

Menurutnya, mahkamah tiada bantahan dan membenarkan penggantungan notis yang dikeluarkan responden sehingga tarikh pendengaran semula permohonan dijadualkan pada 28 Oktober depan. – Sinar

Berikut adalah kenyataan Najib berkaitan isu pencerobohan tanah di Raub yang disiarkan di facebook beliau pada 24 Ogos lalu.

Bagi menyelesaikan masalah ladang durian haram di Raub, kerajaan Pahang telah mewujudkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV).

SPV akan menghalalkan ladang-ladang tersebut dengan berpakat dan berkongsi keuntungan dengan pemilik-pemilik ladang yang telah lama menanam durian jenis di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran.

Namun, pemilik-pemilik ladang mendakwa syarat dan levi yang dikenakan syarikat SPV pada mereka adalah berat sebelah dan terlalu tinggi.

Mereka mendakwa levi tahunan RM6,000 setiap ekar terlalu tinggi berbanding levi RM50 setiap ekar untuk ladang durian di atas tanah milik sendiri.

Mereka juga mengadu bahawa harga pembelian durian yang ditawarkan syarikat SPV kepada pemilik ladang sebanyak RM30 setiap kilogram untuk tahun 2021 dan 2022 adalah rendah berbanding harga pasaran sekarang yang didakwa RM45 setiap kg untuk durian Musang King gred A.

Peladang-peladang juga mendakwa setiap ekar boleh mengeluarkan 2,000 kg durian setahun yang bernilai RM90,000 dan ini bermakna mereka akan rugi sebanyak RM36,000 bagi setiap ekar (dalam bentuk levi dan harga pembelian lebih rendah berbanding harga pasaran) kepada syarikat SPV negeri Pahang.

Mereka kata ini tak adil kerana mereka hanya akan mendapat hasil penjualan RM54,000 setiap ekar dalam skim SPV ini berbanding RM90,000 setiap ekar jika diteruskan sebagai ladang haram di atas tanah kerajaan.

Mereka juga tak puas hati kerana permohonan untuk mendapat hak milik tanah ladang tersebut telah ditolak kerajaan Pahang.

Sebagai tanda protes, ada peladang-peladang yang telah menebang pokok-pokok durian yang sudah matang untuk serahkan kembali tanah kepada kerajaan negeri.

Video-video penebangan pokok berserta kata-kata kesat dalam bahasa Cina sedang tular dan kini digunakan pemimpin serta penyokong DAP untuk menghasut masyarakat Cina.

Menceroboh dan menanam secara haram di atas tanah milik kerajaan adalah salah.

Harapan mereka bahawa kerajaan negeri akan menyerahkan tanah tersebut kepada mereka hanya kerana mereka telah lama menduduki tanah itu juga adalah salah. Jika kerajaan negeri tunduk kepada permohonan mereka maka lagi ramai orang akan buat yang sama dan tidak sesiapa lagi yang akan menghormati tanah milik kerajaan.

Syarat tidak adil dari syarikat SPV kepada peladang juga salah. 

Menebang pokok durian yang sudah matang juga adalah salah dan merugikan semua pihak termasuk diri sendiri.

Menyebar video-video yang mengandungi kata-kata kesat untuk menghasut masyarakat Cina sudah tentu salah.

Sebab itu, semua pihak perlu sabar dan berunding semula untuk mencari titik persetujuan.

Janganlah buat perkara yang merugikan semua pihak termasuk diri sendiri hanya kerana kemarahan seketika.

Pemimpin dan penyokong DAP juga perlu henti mengambil kesempatan isu ini untuk menghasut masyarakat Cina.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat