KUALA LUMPUR – Dr Maszlee Malik menganggap dakwaan rasuah membabitkan dirinya sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat (mala fide) terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Parlimen Simpang Renggam menafikan sekeras-kerasnya kenyataan rekayasa dusta berbaur fitnah berkenaan.

“Saya telah membaca laporan Malaysiakini bertarikh 30/1/2022 berhubung dakwaan rasuah melibatkan saya yang ditimbulkan oleh pihak tertentu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan rekayasa dusta berbaur fitnah ini.

“Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat (mala fide) oleh pihak tertentu terhadap saya menjelang PRN Johor dan komitmen saya terhadap isu-isu pendidikan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, beliau mengalu-alukan sebarang siasatan ke atasnya oleh pihak berkuasa.

“Hidup dan perjuangan saya adalah untuk memperjuangkan pendidikan, nasib OKU, nasib masyarakat miskin, kebajikan rakyat Simpang Renggam dan integriti bagi negara kita yang tercinta,” katanya.

Pada Ahad, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan sedang menyiasat Maszlee selepas menerima dua laporan terhadapnya.

Difahamkan bahawa siasatan itu adalah berhubung dakwaan rasuah semasa Maszlee menjadi Menteri Pendidikan dari 2018 hingga awal 2020.