Aduan Jiwa selami ‘penjara hidup’ mangsa trauma

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menerima antara 400 hingga 500 luahan jiwa sehari dalam laman sosial memberi idea kepada pengacara dan personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya membantu insan memerlukan menerusi landasan yang bersesuaian.

Ekoran itu, Ahmad Fedtri yang juga Penerbit Kanan, Rangkaian Televisyen (TV) Media Prima Berhad (MPB) tampil dengan program bual bicara, Aduan Jiwa yang dikendalikannya sebagai hos.

Idea asal dan konsep ilhamnya, Ahmad Fedtri berkata, program Aduan Jiwa memaparkan kisah benar diceritakan oleh mangsa trauma dalam kes tertentu, di mana dirinya menyelami isi hati mangsa secara mendalam.

“Jika diperhatikan dalam Instagram (IG) dan Twitter, saya banyak yang muat naik mengenai aduan orang ramai. Hingga pada satu tahap laman sosial saya dipenuhi luahan jiwa.

“Namun, kasihan pula jika sekadar meluahkan, tanpa jalan penyelesaian. Jadi, saya rasa perlu ada satu platform atau program yang dapat membantu mereka berdepan dengan masalah.

“Apabila memasuki platform secara formal, kita pertemukan mereka yang bermasalah dengan pakar kaunseling. Tetapi, ada juga tidak mahu bertemu ekoran tinggal di lokasi yang jauh.

“Jadi, apabila dipaparkan isu yang sama, komen pakar kaunseling dan ustaz dapat memberikan maklumat bermanfaat,” katanya kepada BH Online.

Tidak dinafikan, Ahmad Fedtri berkata, ada kes tertentu yang tidak boleh dikongsi kerana terlalu sensitif dan boleh mengundang keresahan orang ramai.

“Saya perasan apabila saya muat naik pelbagai kisah, saya hilang hampir 5,000 pengikut sebab ada yang mengatakan mereka takut melihat IG saya, ia sudah jadi macam tempat meluahkan masalah dan sebagainya.

“Namun, saya ambil sebagai satu cabaran kerana mahu membantu orang. Biarlah hilang pengikut, apa yang penting ada insan dapat dibantu.

“Apabila baca luahan mereka, saya amat simpati kerana tidak pernah menyangka ada yang berhadapan dengan masalah besar sebegini.

“Jadi, saya terpanggil mengadakan program bual bicara ini. Jika soal makan dan minum, saya percaya ramai sudah bantu, tetapi soal jiwa sukar untuk ditangani,” katanya.

 

Ahmad Fedtri cuba meringankan perkongsian yang dipaparkan kerana bimbang membebankan penonton, malah, ada kisah dipaparkan menerusi lakonan semula. - Foto Ihsan TV9
Ahmad Fedtri cuba meringankan perkongsian yang dipaparkan kerana bimbang membebankan penonton, malah, ada kisah dipaparkan menerusi lakonan semula. – Foto Ihsan TV9

 

Pada 2007, Ahmad Fedtri pernah tampil dengan program Di Sebalik Malam, jadi pengalaman mengendalikan program berkenan menjadikannya sudah terbiasa mendengar keluhan hati masyarakat.

Justeru, penyampai radio Buletin FM itu merasakan menjadi tanggungjawabnya membantu menyelesaikan dan mengurangkan emosi yang terbeban di jiwa.

“Menerusi perkongsian orang ramai, nyata semua orang ada penjara hidup masing-masing, nampak atau tidak sahaja. Ada orang penjaranya adalah trauma ekoran dirogol, benci bapa, pornografi dan sebagainya. Lain orang, lain penjaranya,” katanya.

Bagaimanapun, penerima Anugerah Tokoh Khas, Kategori Pendakwah Kreatif 1443/2021M Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan itu berkata, dia cuba meringankan perkongsian dipaparkan menerusi program Aduan Jiwa kerana risau membebankan penonton, malah, ada kisah dipaparkan menerusi lakonan semula.

Selain pengajaran, Ahmad Fedtri berharap, program bual bicara itu dapat memberi panduan bermanfaat kepada insan yang memerlukan.

Program bual bicara, Aduan Jiwa ini bakal menemui penonton mulai 2 Januari depan, bersiaran setiap Ahad, jam 8.30 malam, sebanyak 10 episod di TV9.

Aduan Jiwa turut menampilkan panel jemputan bagi setiap episod untuk memberi pandangan dan cadangan untuk mengatasi masalah.

Antara topik dan kes yang akan dikupas termasuklah kemurungan dan kebimbangan, penderitaan rumah tangga, akhlak dan jenayah seksual.

Episod pertama akan memaparkan topik ketagihan pornografi. Perkongsian dari seorang remaja yang ketagihan pornografi pada usia seawal 8 tahun.

Obsesi terhadap dunia porno menjadikan remaja ini menemui jalan buntu dalam usaha untuk mengubah. Kecanduan kepada bahan terlarang sukar ditinggalkan kerana sudah sebati dalam jiwa.

Episod seterusnya menampilkan dua cerita berbeza membabitkan perasaan rindu yang menebal. Kisah pertama membabitkan anak yang sangat rapat dengan arwah bapa, namun, pemergian insan tercinta meninggalkan perasaan terkilan kerana tidak berkesempatan bertemu buat kali terakhir.

Kisah kedua pula menceritakan keadaan seorang ibu dihukum perasaan pilu dan rindu selepas anak kecilnya hilang dari rumah dan masih tidak dapat dijejaki hingga kini. Dua dimensi rindu yang berbeza ini membawa kesengsaraan jiwa yang besar kepada mangsa.

Selain itu, selebriti popular, Jaafar Onn turut berkongsi kisah hidupnya yang pernah merana kerana dendam dan dengki oleh orang rapat dengannya sehingga kesihatan terjejas teruk. Perkongsiannya dipaparkan dalam episod ketiga yang mengetengahkan topik bahana sihir.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat