Ikan arowana terlepas akibat kolam pecah, penduduk dinasihat pulangkan kepada pemilik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Ribuan ikan spesis arowana ditemui dalam kawasan anak sungai dan parit sekitar kawasan Layang dan Simpang Renggam, sejak kelmarin.

Ikan hiasan bersisik emas dan putih dalam anggaran berat dua kilogram dipercayai dihanyutkan dari kawasan kolam ternakan kawasan berdekatan.

Justeru penduduk sekitar tidak melepaskan peluang menangkap ikan terbabit menggunakan jala dan jaring.

Aktiviti menangkap ikan itu bagai satu pesta bagi penduduk setempat, lapor Buletin TV3.

Malah ada yang menjadikan ikan hiasan berkenaan sebagai hidangan makan tengah hari.

Video aktiviti penduduk menangkap ikan berkenaan tular di media sosial sejak kelmarin.

Spesis ikan berkenaan turut hanyut hingga ke Sungai Sayong dan Kota Tinggi.

Dalam pada itu seorang penternak ikan Arowana komersial yang dikenali sebagai Ng Ah Phau ketika dihubungi berkata, ikan berkenaan adalah miliknya yang diternak di 13 kolam, di Kampung Tengah Layang, Simpang Renggam.

Katanya, lebih 15,000 ikan arowana induk yang dipeliharanya sejak 30 tahun lalu hanyut selepas kolamnya pecah awal pagi semalam menyebabkan beliau menanggung kerugian jutaan ringgit.

Susulan kejadian itu satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Simpang Renggam petang kelmarin.

Ia bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan sama ada kejadian itu berpunca dari perbuatan sabotaj atau sebaliknya.

Ikan spesis arowana yang dipeliharanya, dieksport ke beberapa negara termasuk Singapura, Jepun, Britain dan Australia.

Difahamkan harga pasaran bagi seekor arowana induk dijual pada harga RM2,000 hingga RM3,000 seekor berdasarkan spesis dan saiz.

Bagaimanapun, penduduk sekitar Layang dan Simpang Renggam yang menangkap ribuan ikan spesis arowana yang hanyut dari sebuah kolam pecah perlu memulangkannya semula.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khaled berkata, ikan ditemukan itu jelas milik individu dan sepatutnya dipulangkan kepada pemilik asal.

“Jika jelas ia milik orang dan kita tahu siapa pemiliknya, hendaklah kita pulangkan kepada pemilik.

“Itulah sebaik-baik akhlak sebagai seorang muslim khususnya malah semua ajaran agama mendidik kita agar tidak mengambil hak orang lain.

“Ia berikutan kita tidak boleh makan atau mengambil sesuatu yang bukan hak kita bahkan kita bimbang ia menjadi darah daging kita, jika ia dari sumber yang tidak sah.

“Melainkan pemilik ikan memberi izin atau menghalalkannya, maka itu rezeki kepada sesiapa yang menjumpainya,” memetik Harian Metro.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat