KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari dengan sinis menyatakan tidak mustahil khidmat pakar bukan Islam akan digunakan untuk melihat anak bulan kelak.
“Hari ini dia minta pakar bukan Islam dalam jawatankuasa mengkaji kompetensi DUN untuk gubal undang-undang syariah, lepas ini boleh jadi dia minta pakar bukan Islam dalam Majlis Fatwa pula.
“Tak mustahil tengok anak bulan juga nanti kena ada pakar dari kalangan mereka juga.. Itulah, setapak demi setapak.
Fadhli mengatakan, Kerajaan Perpaduan hari ini dilihat melontar kenyataan terlebih dahulu untuk tengok reaksi umum dan lama-kelamaan menjadi normalisasi.
“Lontar kenyataan dulu, tengok reaksi, lama kelamaan normalisasi.
“Ada Setiausaha Agung satu parti yang lain cepat-cepat pula menafikan kenyataan itu bukan pendirian rasmi orang berkenaan.
“Adapun parti orang itu sendiri tidak keluarkan apa-apa kenyataan penafian lagi. Dia pula jadi ‘lidah rasmi’ untuk control damage,” tempelak Ahli Parlimen Pasir Mas.
Semalam, Umno bertegas menolak pelantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah, malah menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham itu sebagai ‘tidak berpijak di bumi nyata.’
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan penegasan itu sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan, dan cadangan wakil rakyat DAP berkenaan hanya akan mencetuskan polemik tidak perlu dalam suasana harmoni rakyat pelbagai agama dan kaum selama ini.
Tambahan pula, katanya, Mahkamah Syariah dikhususkan kepada rakyat beragama Islam, manakala proses menambah baik dan menaik tarafnya sejak Umno menerajui kerajaan sebelum ini juga sentiasa dilaksanakan secara bertahap dan mengambil kira ruang lingkup kuasa dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.
Bahkan, beliau menekankan sepanjang proses menaik taraf Mahkamah Syariah meliputi aspek pentadbiran, kompetensi, emolumen dan penggajian hakim serta pegawai, serta bentuk dan tahap hukuman diperuntukkan bawah kuasa mahkamah itu, ia tidak pernah sekali-kali mengambil mahupun mencabuli hak warga bukan Islam.
Sebelum ini, kerajaan disaran melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.
Koo Ham, menjelaskan langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.
Beliau juga mengingatkan Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.
“Dalam mengharmonikan undang-undang syariah dengan Perlembagaan, adalah penting pandangan orang bukan Islam diambil kira supaya hak dan perlindungan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang bukan Islam serta asas negara kita tidak terjejas,” katanya.