Tiada kerjasama dengan PN, noktah – Rafizi

- Advertisement -

SEREMBAN: Hasrat kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk berunding dan bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi berdepan Barisan Nasional (BN) ditolak bulat-bulat oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Rafizi menegaskan, keputusan untuk tiada kerjasama dengan PN itu telah mencapai titik noktah malah telah disepakati dalam kalangan parti gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Mesyuarat PH lepas, sudah buat keputusan noktah bahawa kami akan terus berkempen dalam pilihan raya sebagai PH. Kita sedia maklum, sentimen rakyat, ia bukan soal berkuasa, rakyat mahu suatu pembawaan yang benar-bebar berjuang untuk mereka.

“Kalau parti gabungan dekat atas, terlalu sibuk, contohya bila masuk pilihan raya sahaja mula mahu bercakap, sedangkan sebelum itu tikam menikam, khianat dan sebagainya ia beri gambaran politik hanyalah semata-mata orang jadi menteri.

“PH dan Keadilan sebagai tulang belakang daripada dulu berpegang kepada bahawa perlu libatkan semua kaum di negara ini dan kena tumpu soal cari pemimpin yang jujur, cekap mentadbir dan bukan soal perkauman, jadi tidak boleh hendak masuk (kerjasama bersama PN), landasan itu terlalu berbeza, setakat ini, ia noktah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Jelajah Trak Ayuh Malaysia di tapak parkir Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang untuk membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak adalah BN.

Sementara itu, Rafizi berkata, PH tidak akan sekali lagi bekerjasama sekiranya alasan dan niat hanyalah untuk menumbangkan BN.

“Kami sudah kena dulu, rakyat juga sudah tahu, kalau niat itu tidak betul, hanya menggunakan alasan untuk menumbangkan BN tetapi dasar, jiwa tidak kena dan serasi dengan masing-masing, kerajaan itu tidak akan stabil, ia akan jadi balik seperti apa yang berlaku sebelum ini.

“Kami memang sudah biasa jadi pembangkang, dari dulu lagi, jadi tiada isu bagi kami. Bukan semata-mata soal menjadi Perdana Menteri dan kerajaan, yang tidak biasa ini mereka, mereka yang tiba-tiba jadi menteri, yang takut adalah mereka, kami tiada masalah. Saya cakap terus terang, saya tidak boleh tolong,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, sebagai seorang pemimpin muda yang sentiasa mempertahankan idealisme, beliau tegas untuk tiada kerjasama dengan PN.

“Pemimpin yang muda seperti saya, orang kata tiada seni berpolitik, jadi kalau kami kata noktah, ia noktah, kami tidak pusing, tapi kepimpinan lain saya tidak tahu mereka lebih lama, umur lebih senior, jadi saya tidak tahu kalau mereka berbincang lagi atau apa, tetapi keputusan rasmi memang noktah.. noktah itu muktamad.

“Ini yang PKR mahukan, menang atau kalah belakang kira, kami mahu pertahankan idealisme kami, tetapi saya tidak boleh bercakap bagi pihak DAP dan Amanah. Mereka pimpinan senior berpengalaman berpuluh tahun, terpulang kepada mereka, saya hanya berpegang kepada keputusan di peringkat PH iaitu noktah,” katanya.

– UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat