MOTAC Bawa Pulang Rangka Manusia Guar Kepah Di Belanda Ke Tanah Air

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membawa pulang khazanah warisan negara iaitu bahagian daripada rangka manusia Tapak Arkeologi Guar Kepah, Seberang Perai yang tersimpan di Belanda.

Unit Komunikasi Korporat MOTAC dalam satu kenyataan hari ini berkata pemulangan artifak dan jumpaan luar yang kini berada di Belanda adalah selaras dengan dasar Kerajaan Negara Belanda menyerahkan semula kepada negara asal.

Ini juga jelasnya tertakluk kepada penilaian dan syarat yang ditetapkan negara tersebut.

“Tapak Arkeologi Guar Kepah merupakan tapak arkeologi pertama di Malaysia yang telah dikaji oleh pengkaji barat sejak tahun 1863 hingga tahun 1936.

“Kesemua jumpaan arkeologi di tapak tersebut telah dihantar ke luar negara termasuk 41 rangka manusia yang disimpan di Naturalis Biodiversity Centre (NBC), Leiden, Belanda.

“Kini rangka- rangka berkenaan telah diambil alih oleh Kerajaan Belanda dan disimpan di Collection Centre Netherlands (CCNL) di Amersfoort, Belanda,” jelas kenyataan tersebut.

Usaha untuk mengembalikan rangka-rangka ini telah diselaraskan oleh pihak Jabatan Warisan Negara setelah menerima permohonan rasmi daripada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Susulan itu, pihak Kementerian Luar Negeri telah mengutus Nota Diplomatik pada Ogos 2022 kepada pihak Kedutaan Besar Belanda di Malaysia bagi menyampaikan hasrat untuk memohon membawa pulang 41 rangka manusia Tapak Arkeologi Guar Kepah dari NBC.

Ini disusuli dengan satu sesi mesyuarat dengan pihak Kedutaan Besar Belanda di Malaysia pada 29 Ogos 2022.

“Sejurus selepas mesyuarat dengan pihak Kedutaan Besar Belanda di Malaysia, pihak Kerajaan Belanda di bawah Kementerian Pelajaran, Kebudayaan dan Sains telah memulakan proses perundangan untuk memulangkan rangka-rangka berkenaan kepada Kerajaan Malaysia.

MOTAC turut merakamkan setinggi-setinggi penghargaan kepada pihak Kerajaan Belanda atas persetujuan untuk memulangkan rangka-rangka Tapak Arkeologi Guar Kepah kepada Malaysia.

“Kementerian amat kagum dengan kepantasan proses ini dan memuji keputusan yang diambil oleh Kerajaan Belanda untuk memulangkan objek yang mempunyai nilai warisan kepada negara asal.

“Diharapkan usaha ini akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua buah negara terutama dalam bidang seni, budaya dan warisan,” katanya.

Rangka-rangka ini dijangka akan dibawa pulang ke Malaysia pada tahun 2024 untuk disimpan dan dipamerkan di Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang yang sedang dibangunkan.

Dengan kembalinya rangka-rangka ke tapak asal ia dijumpai, galeri dan tapak Arkeologi Guar Kepah bakal menjadi salah satu produk arkeopelancongan utama negara selain menjadi pusat interpretasi untuk menyampaikan informasi mengenai salah satu warisan arkeologi Malaysia kepada orang ramai.

Ini juga akan membuka ruang untuk penyelidikan lanjut ke atas rangka- rangka dan tapak prasejarah Guar Kepah.

Sebelum ini satu majlis simbolik membuka kotak yang mengandungi rangka-rangka berkenaan telah diadakan pada 22 Mac 2023 di Kementerian Pelajaran, Kebudayaan dan Sains Belanda, The Hague, Belanda.

Majlis ini telah dihadiri oleh Datuk Nadzirah Osman, Duta Besar Malaysia ke Belanda dan delegasi dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Profesor Dr. P. Ramasamy Palanisamy, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang.

Pihak Kerajaan Belanda pula diwakili pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pelajaran, Kebudayaan dan Sains serta Kementerian Luar Negeri Belanda.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat