KUALA LUMPUR – Bencana alam yang melanda negara menjadi medan rakyat menyaksikan gelagat para menteri mempamerkan aksi-aksi janggal yang menyakitkan hati.

Malah kata Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan kegagalan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menangani banjir besar di Selangor sebagai sejarah hitam negara.

Katanya, ada pula pemimpin parti yang mendapat cuti sakit untuk menangguhkan kes mahkamah, tiba-tiba sihat untuk membantu rakyat yang dilanda banjir.

“Rakyat sudah cukup menderita dan semoga mereka ada kekuatan untuk menamatkan pameran sikap hipokrit dan inkompeten pentadbiran yang ada.

“Semoga pilihan raya umum yang bakal berlangsung dapat menghentikan sandiwara dan jenaka slapstik yang menyakitkan hati,” katanya memetik Utusan.

Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi berkata, gelagat Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sekali lagi mendapat perhatian ramai apabila keluar negara bertemu dengan anak-anaknya di Dubai ketika rakyat bergelut dengan masalah banjir.

Menurutnya, Ahmad Faizal kelihatan tidak peka dengan sentimen dan kehendak umum apabila keluar negara dalam keadaan rakyat tersepit dalam kesulitan akibat banjir besar yang bukan sahaja tidak sensitif, ia malah boleh dilihat sebagai satu perbuatan menunjuk dan mempamerkan kemewahan hidup.

“Entah apa yang hendak dipamerkan. Tetapi ini bukan kali pertama Ahmad Faizal berkelakuan demikian.

“Sebagai Menteri Besar Perak, beliau tergamak membeli kereta baharu dalam keadaan rakyat dalam kesusahan akibat pandemik Covid-19 dan Perak masih tergolong dalam kategori negeri paling miskin bersama Kelantan, Sabah dan Sarawak.

“Apa pun gelagat Ahmad Faizal bukanlah sesuatu yang terpencil bahkan ia sudah menjadi ciri yang tetap dalam pentadbiran pimpinan Perdana Menteri,” katanya.