Program Bantu Sampai Selesai Mula Esok, KKMM Sedia 1,000 Sukarelawan Bantu Bersih Rumah Banjir

KUALA LUMPUR – Program Bantu Sampai Selesai yang dilancarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bermula Rabu ini bagi membersihkan kediaman mangsa banjir sekitar Lembah Klang selama lima hari berturut-turut.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata program itu akan dimulakan dengan menyasarkan 500 rumah di tiga lokasi yang terjejas teruk akibat banjir khususnya Taman Seri Muda di Shah Alam, Bukit Changgang di Kuala Langat dan Taman Sri Nanding di Hulu Langat.

Beliau berkata lebih 1,000 sukarelawan yang terdiri daripada pegawai kementerian dan agensi KKMM, artis, selebriti tanah air, persatuan industri kreatif serta media akan digerak bagi program itu.

“Apabila saya turun ke padang, saya mendapati keluarga (yang terjejas banjir) trauma kerana hendak bersihkan rumah. Sukarelawan datang dan balik selepas dua tiga jam, dan kerja tidak selesai.

Oleh itu, setiap keluarga yang tertekan atau menghadapi masalah lambat membersihkan rumah, boleh membuat permohonan kepada jawatankuasa yang akan diumumkan esok,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada masyarakat Orang Asli di Tadom Hill semalam.

Memetik Bernama, Annuar berkata program itu akan memberikan bantuan dari segi tenaga, material dan kewangan kepada mangsa selain menyediakan kumpulan memasak sepanjang lima hari ia berlangsung.

Katanya sehubungan itu, beliau memberikan cuti tanpa rekod kepada pegawai kementerian dan agensi KKMM yang menjadi sukarelawan program tersebut.

Beliau juga meminta mana-mana pihak termasuk belia yang ingin menjadi sukarelawan bagi program itu agar mendaftar melalui hotline Rumah Prihatin Wilayah Persekutuan mulai esok.

Annuar juga berkata sebanyak 305 daripada 367 struktur komunikasi yang terjejas akibat banjir di Selangor telah dipulihkan oleh penyedia perkhidmatan di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Beliau memberi jaminan baki struktur yang lain akan kembali beroperasi dalam masa terdekat.

Katanya terdapat 68 struktur komunikasi yang terjejas di sekitar kawasan Sepang dan 56 daripadanya telah dipulihkan setakat ini.

Terdahulu, Annuar bersama dengan sukarelawan Rumah Prihatin mengedarkan selimut, air minuman dan kotak makanan bagi membantu 240 keluarga iaitu penduduk di sekitar Tadom Hill yang terjejas akibat banjir.