KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak bersetuju untuk membincangkan perkara berkaitan keselamatan negara, seperti meneliti spesifikasi, keperluan dan keupayaan peralatan ketenteraan negara.
Menurutnya tidak ada mana-mana negara di dunia yang membincangkannya secara terbuka, hal yang melibatkan isu seperti perolehan senjata.
“Adakah ia boleh dibincangkan secara terbuka?
“Tiada mana-mana negara di dunia yang membincangkannya secara terbuka, dan saya tidak bersetuju jika ia melibatkan isu seperti perolehan senjata.
“Bolehkah spesifikasi setiap helikopter dibahaskan di Parlimen? Ia boleh dibincangkan kemudian jika perlu, dan kita mungkin meminta Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri untuk menyemak apa yang boleh dikongsi.
“Namun, adalah tidak sesuai untuk membincangkan perkara yang berkaitan keselamatan negara, seperti meneliti spesifikasi, keperluan dan keupayaan peralatan ketenteraan kita (dalam jawatankuasa),” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang ingin tahu sama ada helikopter yang dibekalkan kepada tentera telah melalui ujian dan memenuhi spesifikasi ketenteraan.