Mahkamah Sesyen gantung prosiding kes hasutan Undang Luak Sungai Ujong, rujuk isu bidang kuasa ke Mahkamah Tinggi

SEREMBAN – Mahkamah Sesyen Seremban hari ini membenarkan bantahan awal pihak pembelaan Datuk Mubarak Thahak @ Dohak dan menggantung sementara prosiding pendakwaan terhadapnya di bawah Akta Hasutan 1948 bagi membolehkan Mahkamah Tinggi memutuskan persoalan bidang kuasa.

Tiada pertuduhan dibacakan terhadap Mubarak. Hakim Tasnim Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pasukan pembelaan yang diketuai Asmawi Ismail mengenai kedudukan seorang Undang sebagai Pembesar Memerintah di Negeri Sembilan.

Pihak pembelaan membangkitkan persoalan sama ada, berdasarkan kedudukan itu, prosiding jenayah terhadap Mubarak atas sifat peribadinya hanya boleh dibawa di Mahkamah Khas. Kedudukan Mubarak sendiri sebagai Undang Luak Sungei Ujong turut dipertikaikan.

Dalam hujahannya, pihak pembelaan merujuk kepada takrif “Raja” dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan. Bagi Negeri Sembilan, perenggan (a) takrif itu merujuk kepada Yang di-Pertuan Besar yang bertindak bagi pihak dirinya sendiri dan Pembesar-Pembesar Memerintah mengikut Perlembagaan negeri.

Menurut pihak pembelaan, Undang tergolong dalam kalangan Pembesar-Pembesar Memerintah (*Ruling Chiefs*) Negeri Sembilan. Perkara 181(1) secara khusus memelihara prerogatif, kuasa dan bidang kuasa yang sedia dinikmati oleh pembesar berkenaan di wilayah masing-masing, tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 181(2) pula memperuntukkan bahawa sebarang prosiding terhadap Raja sesuatu negeri atas sifat peribadinya hanya boleh dibawa di Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV Perlembagaan Persekutuan.

Perenggan (b) takrif “Raja” dalam Perkara 160(2) turut merangkumi seseorang yang menjalankan fungsi Raja mengikut Perlembagaan negerinya. Bagaimanapun, perenggan itu secara nyata mengecualikan pemakaian takrif lanjutan tersebut bagi tujuan Perkara 181(2).

Mahkamah Tinggi akan menentukan sama ada peruntukan yang dihujahkan oleh pihak pembelaan memberi kesan kepada bidang kuasa Mahkamah Sesyen untuk mendengar pertuduhan terhadap Mubarak.

Selain Asmawi, anggota pasukan pembelaan daripada Tetuan Deidra Sharina & Co. ialah Deidra Nur Azmi, Dr Hanif Hassan, Nabila Nur Azmi, Vel Manoharan, Fathin Syuhadah Mohamad Yasin dan Emirul Saifuddin.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat