Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Balai Seni Negara sedang mengadakan Pameran Batu Jed: Jejak Beribu Tahun Menuju Kemakmuran Yang Abadi, dibuka kepada pengunjung sehingga 23 Disember ini di Balai Seni Negara.
Pameran ini dibawakan oleh Pertubuhan Kebudayaan Cina Malaysia sempena meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Unit Komunikasi Korporat, Balai Seni Negara dalam kenyataan medianya memaklumkan, pameran ini telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman dekat sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Shaik Rizal Sulaiman; Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad; Kurator, Dato’ Wong Shung Yen, dan Penasihat Pertubuhan Kebudayaan Cina Malaysia, Dr. Low Cheong Sin.
“Pameran ini menampilkan lebih daripada 100 ukiran jed, setiap satu merupakan khazanah yang bernilai, dipilih melalui proses tapisan yang teliti daripada rumah lelong seperti Christie’s, Sotheby’s, dan Bonhams.
“Selain itu, pameran ini turut mempamerkan koleksi terkenal seperti Robert Hatfield Ellsworth dan Roger Keverne,”kata kenyataan itu.
“Pameran ini memberi peluang kepada para pengunjung untuk menelusuri sejarah seni jed purba.
“Bermula dari zaman prasejarah hingga dinasti Ming dan Qing, setiap artifak jed bukan sahaja mempamerkan kehalusan seni, tetapi juga nilai budaya dan estetika yang berterusan selama beribu tahun,”katanya.
“Di samping itu, inisiatif ‘Belt and Road’ kini menjadi platform utama pertukaran budaya antarabangsa dikenali sebagai ‘Jalan Jed dan Sutera’ yang menghubungkan budaya jed dengan semangat perpaduan dan kerjasama global, menyatukan negara-negara melalui warisan budaya.
“Selama ribuan tahun, jed dipenuhi pelbagai makna budaya yang mendalam dan dalam tradisi China, jed diangkat sebagai simbol kebajikan, sering digunakan dalam upacara keagamaan, ritual diraja malah sebagai alat dalam pertukaran diplomatik.
“Artifak-artifak jed yang bersejarah kini dipamerkan di muzium-muzium terkemuka di seluruh dunia.
“Ia memberi peluang kepada generasi kini untuk menghayati serta menghargai ketabahan, kepintaran, dan kepentingan budaya yang terkandung dalam warisan jed purba,”katanya lagi.
“Sebagai negara ASEAN pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan China, Malaysia telah memainkan peranan penting sebagai jambatan budaya serta memperkukuh hubungan budaya dan sejarah antara kedua-dua negara.
“Pameran ini merayakan keakraban hubungan Malaysia-China dengan menggabungkan warisan budaya, memupuk penghormatan mendalam terhadap seni tradisional, serta menggambarkan keindahan dan keharmonian dalam pertukaran budaya yang telah terjalin,”ujarnya.
“Pameran ini menawarkan pengalaman seni yang unik serta menampilkan artifak yang jarang ditemui dan memukau.
“Dari sudut teknik ukiran hingga simbolisme budaya, setiap artifak jed adalah bukti kepintaran dan kehalusan seni yang luar biasa.
“Pengunjung juga dapat menyaksikan kesinambungan gaya seni jed yang dipengaruhi oleh pemikiran budaya dari pelbagai era sejarah,”ujarnya lagi.
“Balai Seni Negara mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pertubuhan Kebudayaan Cina Malaysia kerana telah membina sebuah galeri seni baharu di sini, menjadikannya galeri yang ke-8 serta memberi lambang kepada sejarah 50 tahun hubungan diplomatik ini.
“Orang ramai dijemput ke pameran yang sedang berlangsung ini di sini, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari secara percuma, dan maklumat lanjut, layari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara, ”tambahnya. -SUARA.TV