KUALA LUMPUR – Pemergian Sasterawan Negara Datuk Seri Dr A Samad Said meninggalkan warisan kesusasteraan yang akan terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, sepanjang hayatnya, Allahyarham yang mesra disapa Pak Samad mengabdikan diri kepada bahasa dan sastera dengan merakam kehidupan seharian, pergolakan masyarakat serta perjalanan bangsa menerusi karya-karyanya.
Beliau berkata, novel Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi menjadi sebahagian daripada khazanah sastera negara yang akan terus dibaca dan dihayati merentas generasi.
“Sesungguhnya, jasad seorang sasterawan mungkin telah pergi namun suara, pemikiran dan perjuangannya tidak akan sama sekali terpadam,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek pula berkata, karya Pak Samad dekat dengan kehidupan masyarakat dan membantu pembaca mengungkapkan perasaan yang sukar diluahkan dengan kata-kata sendiri.
“Melalui tulisannya, kita diajak memahami kehidupan orang lain dan menyelami kesusahan mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Fadhlina berharap generasi muda terus membaca dan menghayati karya serta pemikiran Allahyarham kerana banyak pengajaran yang masih boleh ditimba daripada penulisannya.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching turut memberikan penghormatan kepada Pak Samad dengan memetik sebahagian puisinya, *Hidup Bersama*, yang menurut beliau mencerminkan pemikiran dan perjuangan Allahyarham.
“Terima kasih kerana memberikan Malaysia hati nurani dan keindahan puisinya, Pak Samad. Kata-kata anda akan terus hidup buat selama-lamanya,” katanya.
Menurut Bernama, Pak Samad, atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said, meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Kuala Lumpur pada jam 6.10 petang Selasa.
Allahyarham dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Beliau merupakan Sasterawan Negara keempat selepas menerima Anugerah Sastera Negara pada 1985.
Antara pengiktirafan lain yang diterimanya ialah Anugerah Pejuang Sastera pada 1976 dan Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) pada 1979.-BERNAMA



