KUALA LUMPUR – Malaysia sentiasa lantang dan tegas menentang genosid namun berdepan kekangan memandangkan kedudukan negara yang tidak menandatangani Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid 1948 (Konvensyen Genosid).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak menandatangani konvensyen itu atas beberapa faktor terkait dengan Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
“Kena faham kerana terikat dengan Statut Rom dan setakat ini Malaysia dalam soal ICERD dan Statut Rom ini ada kekangannya kerana beberapa peruntukan dalam Statut Rom itu yang tidak boleh diterima oleh sebahagian masyarakat kita terutamanya dalam dasar mempertahankan hak Bumiputera, soal agama, LGBT.
“…dan ini telah ditimbulkan juga oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Jadi itu sahaja.
“Saya fikir dalam perbincangan saya dengan Presiden Afrika Selatan, Presiden Ramaphosa yang berhajat mengunjungi Malaysia awal tahun depan, beliau menyatakan bahawa tidak menghalang sama sekali untuk Malaysia menyatakan dukungan bersama Selatan Afrika tetapi tidak punyai kedudukan yang sama kerana kita tidak menandatangani Statut Rom, itu yang menjadi kekangannya.
“Tetapi saya fikir untuk memikirkan ke depan, boleh sahaja Jawatankuasa Pilihan bincang bersama di antara parti, bagaimana boleh kita majukan
isu ini, dengan melihat semula peruntukan-peruntukan Statut Rom dan kalau ada kesepakatan, kita boleh teruskan.
“Walaupun saya ada sedikit kebimbangan melihat kepada suasana dan peruntukan Perlembagaan negara kita dan pendirian Raja-Raja Melayu,” jelas Anwar dalam sidang Dewan Rakyat pada Khamis.
Perdana Menteri menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkenaan jika Malaysia boleh menandatangani Konvensyen Genosid bagi membolehkan negara mengambil tindakan lebih tegas ke atas serangan Israel di Palestin.