KUALA LUMPUR – Keperluan memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar di Sarawak terus menjadi antara perkara penting dalam menilai keberkesanan Belanjawan 2027, khususnya dalam memastikan kemudahan asas dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh penduduk di kawasan pedalaman.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Anak Mongin berpandangan, peruntukan pembangunan perlu mengambil kira keluasan wilayah Sarawak serta keperluan rakyat yang masih memerlukan kemudahan asas seperti bekalan air terawat, elektrik, jalan raya, hospital dan sekolah.
Perkara itu dibangkitkan beliau dalam temu bual khas bersama Suara TV ketika mengulas peruntukan pembangunan Sarawak di bawah Belanjawan 2027.
Peruntukan pembangunan dan keperluan sebenar Sarawak
Dalam menilai peruntukan pembangunan, Willie menekankan bahawa jumlah keseluruhan yang diumumkan kerajaan Persekutuan perlu dilihat secara terperinci, terutama dari segi pecahan antara perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Menurut beliau, peningkatan jumlah peruntukan secara keseluruhan tidak semestinya menggambarkan pertambahan yang besar dalam perbelanjaan pembangunan yang boleh dimanfaatkan secara langsung oleh rakyat.
“Kalau kita lihat peruntukan pembangunan untuk Sarawak, memang jumlah itu senantiasa tidak mencukupi.
“Tetapi dalam kita memahami kekangan yang dilalui oleh kerajaan Persekutuan, kita juga ingin meminta pertimbangan, khasnya kepada Sabah dan Sarawak. Kerana walaupun kita melihat jumlah itu seolah-olah peningkatan, tapi sebenarnya jumlah itu adalah gabungan daripada peruntukan mengurus dan juga peruntukan pembangunan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa angka peruntukan yang diumumkan perlu diteliti berdasarkan komponen perbelanjaan yang terkandung di dalamnya, supaya peningkatan yang dilaporkan dapat dinilai dengan lebih tepat.
“Jadi jumlah itu suara dan nadanya nampak besar. Tetapi sebenarnya dia tidak banyak beza. Dia ada lingkungan peningkatan dalam satu bilion lebih untuk setiap negeri.
“Tetapi kita bersyukur dengan apa yang ada. Tetapi kita cuma inginkan kesaksamaan,” katanya.
Pengagihan peruntukan dan keperluan keseimbangan wilayah
Isu pengagihan peruntukan antara wilayah turut menjadi perhatian Willie yang berpandangan bahawa keluasan geografi serta keperluan pembangunan Sarawak perlu diberikan pertimbangan dalam perancangan belanjawan negara.
Beliau membangkitkan perbezaan agihan peruntukan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, yang menurutnya wajar diperhalusi bagi memastikan keperluan pembangunan setiap wilayah dapat dipenuhi dengan lebih seimbang.
“Kerana kalau kita lihat saban tahun peruntukan belanjawan yang diumumkan oleh kerajaan Persekutuan, kita melihat lebih kurang 15 hingga 20 peratus hanya jumlah itu saja yang diperuntukkan untuk Sabah dan Sarawak, dan dalam lingkungan 80 peratus adalah di Semenanjung Malaysia.
“Jadi mana mungkin untuk negeri yang besar, Sabah dan Sarawak ini besar, besar daripada Semenanjung boleh menggunakan peruntukan yang sekecil itu. Maka saya berharap agar perkara ini dapat diperhalusi dan juga peruntukan-peruntukan lain juga boleh diberi kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.
Menurut Willie, penelitian terhadap pengagihan peruntukan penting bagi memastikan pembangunan di Sarawak dapat dilaksanakan selaras dengan keperluan penduduk, khususnya di kawasan luar bandar yang berdepan cabaran dari segi akses dan penyediaan infrastruktur.
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menyediakan dokumen atau laporan yang memperincikan jumlah sebenar peruntukan yang disalurkan kepada Sarawak, termasuk melalui kementerian berkaitan.
“Memang saya memahami daripada aspek peruntukan pembangunan daripada kementerian pun ada. Tetapi sebab itulah saya bertanya di dalam Parlimen supaya adanya satu dokumen ataupun laporan yang disediakan oleh kerajaan untuk menunjukkan jumlah sebenar yang diberi kepada Sabah dan Sarawak termasuk daripada kementerian-kementerian,” katanya.
Infrastruktur asas sebagai ukuran pembangunan luar bandar
Di peringkat kawasan, keperluan penduduk Puncak Borneo menggambarkan cabaran pembangunan yang masih perlu diberikan perhatian, khususnya dalam memastikan kemudahan asas tersedia secara mencukupi.
Willie berkata, pembangunan luar bandar tidak boleh hanya tertumpu kepada projek berskala besar, sebaliknya perlu turut merangkumi kemudahan harian yang memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat.
“Kita lihat banyak kawasan di pedalaman, khasnya Parlimen Puncak Borneo. Memang kita memerlukan banyak pembangunan asas seperti bekalan elektrik, bekalan air terawat dan juga daripada segi perhubungan jalan raya.
“Kita juga memerlukan hospital, kita memerlukan sekolah dan sebagainya. Ini adalah perkara yang sangat asas yang diperlukan oleh orang,” katanya.
Projek bekalan air Puncak Borneo Fasa II perlu diberi perhatian
Antara projek yang diberikan penekanan oleh Willie ialah projek bekalan air Puncak Borneo Fasa II yang menurutnya telah melalui proses tender dan diharapkan dapat dilaksanakan segera.
Beliau menyifatkan bekalan air terawat sebagai antara keperluan mendesak yang perlu diberikan perhatian dalam perancangan pembangunan kawasan berkenaan.
“Keperluan yang amat mendesak ketika ini adalah daripada keperluan bekalan air. Maka saya berharap dalam bajet kali ini projek bekalan air Puncak Borneo Fasa II yang telah ditender dapat dilaksanakan.
“Dan juga projek-projek jalan dan projek lain yang telah ditender dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Komitmen berterusan bagi merapatkan jurang pembangunan
Willie berkata, keperluan pembangunan yang dikenal pasti di Puncak Borneo turut dirasai kawasan lain di Sarawak, sekali gus memerlukan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan projek infrastruktur.
“Dan ini bukan sahaja di Parlimen Puncak Borneo. Saya percaya di Sabah dan Sarawak banyak juga keperluan yang sama. Dan ini memerlukan komitmen kerajaan Persekutuan yang komited untuk melaksanakan kerana jurangnya terlalu besar daripada kawasan-kawasan di Semenanjung jika kita bandingkan dengan Sabah dan Sarawak dan Semenanjung.
“Itu amat glaring lah. It’s a very glaring and very obvious difference yang ada,” katanya.
Dalam menilai Belanjawan 2027 dari sudut pembangunan Sarawak, persoalan utama bukan sekadar jumlah peruntukan yang diumumkan, tetapi juga bagaimana dana berkenaan diagihkan, projek dilaksanakan dan keperluan rakyat diterjemahkan kepada hasil yang nyata.
Willie berkata pihaknya berharap agar peruntukan pembangunan terus diperhalusi mencerminkan keperluan untuk memastikan pembangunan luar bandar bergerak seiring dengan kemajuan negara, dengan kemudahan asas menjadi antara penanda aras penting dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak.



