Hubungan dengan AS tidak sekat Malaysia bekerjasama dengan China – Anwar

MANILA – Hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) tidak menyekat kebebasan negara ini untuk menjalin kerjasama dengan negara lain, termasuk China, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Malaysia kekal berpegang kepada dasar luar bebas, manakala pelaburan asing perlu mematuhi kerangka dasar negara serta menghormati kepentingan Malaysia.

“Anda seorang pelabur, anda boleh membuat keputusan tentang apa yang ingin dilakukan, tetapi ia mesti melalui kerangka kami, dasar negara kami. Serta perlindungan terhadap kepentingan kami sebagai sebuah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bersempena lawatan kerjanya bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di sini, malam Ahad, lapor Bernama.

Anwar berkata, pendirian bebas Malaysia itu telah disampaikan kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menerusi perbualan telefon kira-kira satu setengah minggu lalu.

Menurut beliau, perbualan berkenaan turut menyentuh isu pusat data, cip dan kecerdasan buatan (AI).

Bagaimanapun, katanya, jaminan yang diberikan kepada AS tidak mengetepikan hak Malaysia untuk menentukan sendiri bentuk penglibatannya dengan negara lain, termasuk China.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Sidang Kemuncak ASEAN menjadi platform penting untuk merangka hala tuju rantau ini ketika berdepan ketidaktentuan geopolitik.

Beliau berkata, penglibatan dengan pelbagai kuasa mencerminkan pendekatan dasar luar Malaysia serta prinsip kepusatan ASEAN, ketika negara-negara lebih kecil perlu mengemudi keadaan yang mencabar dengan berhati-hati.

Menyentuh soal ekonomi, Perdana Menteri menegaskan bahawa usaha menarik pelaburan dan mendapatkan projek perlu bergerak seiring dengan pentadbiran yang bersih serta pencegahan salah guna kuasa.

“Tadbir urus yang baik merupakan perkara utama bagi saya,” katanya sambil mengulangi komitmen meneruskan dasar membanteras rasuah.

Menurut Anwar, Malaysia perlu dikenali bukan sahaja kerana ekonominya yang rancak, tetapi juga pendirian tegas menentang salah guna kuasa dan rasuah berleluasa yang akhirnya menyengsarakan rakyat biasa.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; dan Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat