Rafizi desak Umno henti campur tangan, halang penyelesaian krisis politik Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR- BERSAMA menggesa kepemimpinan Umno menghentikan campur tangan dalam kemelut politik Negeri Sembilan, susulan dakwaan tindakan parti itu mengumumkan peletakan jawatan Menteri Besar Datuk Ismail Lasim, ketika usaha menyelesaikan krisis membabitkan kerajaan negeri dan Istana menunjukkan perkembangan positif.

Pemimpin BERSAMA Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, perkembangan berkenaan menimbulkan persoalan berhubung proses peletakan jawatan Ismail, terutama apabila surat berkenaan didakwa bukan dihantar sendiri oleh Menteri Besar itu.

Beliau berkata, Ismail sebelum itu sudah menarik balik surat bertarikh 17 September 2026 yang menyatakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir, bukan lagi pemerintah negeri berkenaan.

Menurutnya, surat penarikan balik itu dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, pada 10 November lalu dan disahkan Ismail kepada media pada 14 November.

“Keputusan itu dipersetujui sebulat suara oleh ahli-ahli Exco katanya dalam kenyataan bagi pihak BERSAMA.

Rafizi berkata, perkembangan seterusnya berlaku pada 16 November apabila Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Besar memaklumkan menerusi WhatsApp pada jam 8.38 malam bahawa Ismail mendapat perkenan untuk menghadap Tuanku Mukhriz pada jam 10 pagi, 20 November ini.

Bagaimanapun, katanya, kurang dua jam selepas makluman berkenaan, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan Ismail sudah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

“Surat peletakan jawatan hanya dihantar ke Istana lebih kurang dua jam selepas pengumuman itu dibuat dan bukan daripada Datuk Ismail Lasim sendiri,” dakwanya.

Rafizi turut mempersoalkan sama ada surat peletakan jawatan berkenaan sebenarnya surat kosong yang ditandatangani lebih awal oleh Ismail ketika proses pencalonan pilihan raya, seperti amalan yang didakwanya dilakukan Umno terhadap calon parti itu.

Beliau berkata, mekanisme berkenaan mungkin digunakan bagi mengawal tindakan wakil rakyat daripada melompat parti, namun mempersoalkan kesesuaiannya untuk jawatan Menteri Besar yang pelantikannya tertakluk kepada budi bicara dan kuasa Yang di-Pertuan Besar berdasarkan Perlembagaan Negeri.

Sehubungan itu, beliau meminta Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kepemimpinan parti menjelaskan asas penghantaran surat berkenaan serta sama ada ia benar-benar dibuat atas kehendak Ismail sendiri.

Rafizi mendakwa tindakan Umno mengumumkan peletakan jawatan Ismail ketika perkembangan ke arah penyelesaian krisis sudah dicapai menimbulkan persoalan mengenai pendirian parti itu terhadap kedudukan Tuanku Mukhriz serta institusi Raja-Raja Melayu.

“Saya menyeru semua kepimpinan politik menyerahkan perkara ini untuk diselesaikan secara baik dan menghormati budi bicara Istana Negeri Sembilan bagi memastikan pergolakan ini tamat dan Kerajaan Negeri Sembilan boleh mula berfungsi sejak dipilih tiga bulan lalu,” katanya.

Beliau turut menggesa Pas supaya menyuarakan pendirian berhubung kemelut berkenaan, selain meminta Umno menghormati institusi diraja dan memberi ruang kepada penyelesaian secara baik antara kerajaan negeri dengan istana.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat