Bukan semua perjuangan bergema dia atas pentas, Pija Yasin mahu menghidupkan kembali impian

Ada impian yang tidak pernah mati, cuma sesekali terpaksa disimpan apabila kehidupan menuntut seseorang memilih jalan berbeza. Begitulah perjalanan penyanyi Pija Yasin yang pernah mengecapi populariti selepas menjuarai program Mentor musim pertama pada 2005, namun perjalanan hidup membawanya jauh daripada gemerlapan dunia hiburan.

Biarpun namanya tidak lagi sekerap dahulu menghiasi media, Pija atau nama sebenarnya Nor Afizah Mohd Yasin sebenarnya tidak pernah meninggalkan dunia seni. Sebaliknya, selepas melalui fasa perkahwinan dan menjadi suri rumah selama lapan tahun, dia memilih untuk meneruskan kehidupan dengan pelbagai cara tanpa melupakan kecintaannya terhadap nyanyian.

Selepas tamat kontrak bersama Datuk Zainal Abidin, Pija pernah mencuba nasib dengan menghasilkan beberapa single termasuk lagu bersama Datuk Idris serta karya berjudul *Duit* yang dirakamkan bersama kakaknya. Dia juga pernah menyertai sebuah kumpulan muzik, namun beberapa percubaan itu tidak membuahkan hasil seperti diharapkan.

Apabila mendirikan rumah tangga, tumpuannya lebih terarah kepada keluarga. Namun, minat terhadap seni tidak pernah benar-benar terpadam apabila dia masih menerima undangan persembahan korporat, karnival dan program anjuran badan kerajaan.

Dalam tempoh itu, Pija turut belajar menjadi wanita yang berdikari dengan menceburi bidang perniagaan. Daripada menjual pakaian ketika Ramadan, menguruskan perniagaan korporat hinggalah menyediakan makanan secara dalam talian, semuanya dilakukan demi mencari rezeki.

Malah, dia pernah menyediakan pelbagai menu masakan untuk pelanggan dan menerima tempahan sehingga 50 pek makanan bagi tujuan sedekah ke masjid setiap Jumaat.

Bagi Pija, kehidupan tidak boleh bergantung kepada satu sumber pendapatan semata-mata. Selagi ada kudrat dan peluang, dia tidak malu mencuba sesuatu yang baharu meskipun pernah dikenali sebagai penyanyi.

Selepas melalui perceraian dan kini menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal, Pija bersyukur kerana masih mempunyai rezeki untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak. Baginya, setiap fasa yang dilalui mengajar erti ketabahan dan menghargai perkara kecil yang mungkin sering dipandang remeh.

Menariknya, pintu untuk kembali mendekati dunia muzik mula terbuka menerusi TikTok. Melalui sesi siaran langsung, Pija kembali menyanyi dan berinteraksi dengan peminat yang masih mengingati dirinya sebagai juara Mentor.

Lebih menyentuh perasaan apabila ada peminat yang masih meminta lagu Luka, sekali gus membuatkan Pija kembali mencari lagu lama yang sudah sekian lama tidak dipersembahkan.

“Saya kadang-kadang tidak sangka masih ada orang yang kenal Pija. Bila buat live TikTok, ada yang masuk dan minta lagu Luka. Ada kalanya penonton sampai 300 hingga 400 orang. Daripada situ saya dapat semangat semula kerana rupanya masih ada yang mahu mendengar saya menyanyi,” katanya.

Pengalaman itu menyedarkan Pija bahawa populariti mungkin berubah mengikut masa, tetapi hubungan antara penyanyi dengan peminat tidak semestinya terputus. Ada suara yang terus hidup dalam ingatan meskipun sudah lama tidak kedengaran di corong radio.

Justeru, penyertaannya dalam program BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam – Kempen CSR Apresiasi Bakat Seni pada 16 November ini di Kuala Lumpur International Hotel (KLIH) dilihat sebagai peluang untuk kembali menghidupkan impian yang pernah tertangguh.

Berkongsi pentas bersama Sahri dan Fatin Faishal, Pija berharap program itu dapat membuka lebih banyak ruang kepada penyanyi berpengalaman untuk kembali berkarya serta memperkenalkan kemampuan mereka kepada generasi baharu.

Dia juga tidak menolak kemungkinan menghasilkan lagu baharu, selain merakamkan beberapa lagu dalam versi cover sebagai langkah mengaktifkan semula perjalanan muziknya.

Buat Pija, kembali ke pentas bukan semata-mata mahu mengejar populariti yang pernah dikecapi, sebaliknya memenuhi kerinduan terhadap sesuatu yang sudah sebati dalam jiwanya.

Kerana akhirnya, kehidupan mungkin mengubah arah perjalanan, namun tidak semestinya mampu memadamkan sebuah impian. Dan bagi Pija Yasin, selagi suara masih mampu dilantunkan, selagi itulah perjuangan seninya belum sampai ke penghujung.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat