KUALA LUMPUR – DAP mengingatkan pihak yang mempertikaikan keputusan kerajaan melanjutkan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) supaya tidak menjadikan usaha memelihara bangunan bersejarah itu sebagai isu perkauman.
Bendahari DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ben Fong Kok Seng berkata, pengkritik keputusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh seolah-olah melupakan peranan penting bangunan berkenaan dalam sejarah politik negara, khususnya pembentukan Parti Perikatan yang menjadi pendahulu Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, KLSCAH pernah menjadi lokasi perbincangan bersejarah antara UMNO dan MCA pada 1952 yang membantu meletakkan asas penubuhan Parti Perikatan, gabungan politik yang kemudiannya memimpin Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
“Agak ironis apabila seorang menteri DAP membantu memastikan pemeliharaan jangka panjang bangunan yang mempunyai kaitan dengan asal-usul politik BN, sedangkan sesetengah pengkritik politik cuba menjadikan keputusan itu sebagai isu perkauman.
“Adakah mereka sudah melupakan kepentingan bangunan yang kini mereka jadikan alasan untuk menyerang kerajaan?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ben Fong berkata, bangunan KLSCAH yang dibuka secara rasmi pada 1934 oleh Sultan Selangor ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Shah, mempunyai nilai sejarah yang melangkaui kepentingan masyarakat Cina semata-mata.
Katanya, bangunan berkenaan merupakan sebahagian daripada warisan politik bersama rakyat Malaysia, khususnya sejarah kerjasama politik Melayu-Cina yang membantu membentuk negara.
Beliau berkata, kepentingan bangunan itu turut diiktiraf kerajaan apabila diisytiharkan sebagai bangunan Warisan Kebangsaan pada 2007, sebelum Jabatan Warisan Negara memperuntukkan RM500,000 bagi kerja pemuliharaannya pada 2008.
Mengulas keputusan memperbaharui pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dengan premium nominal RM1,000, Ben Fong berkata, perkara itu perlu dilihat berdasarkan perubahan status penggunaan tanah berkenaan daripada komersial kepada institusi.
Menurutnya, perubahan tersebut bermakna tanah itu tidak lagi boleh dibangunkan secara komersial seperti pembinaan kondominium atau pusat beli-belah, sebaliknya perlu dikekalkan bagi tujuan institusi dan pemeliharaan warisan.
“Justeru, anggaran premium terdahulu sebanyak RM4.67 juta tidak boleh dinilai secara berasingan tanpa mengambil kira sekatan penggunaan tanah yang kini dikenakan,” katanya.
Ben Fong turut membandingkan keputusan itu dengan tindakan kerajaan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2021 yang meluluskan lanjutan pajakan tanah sekolah bersejarah Convent Bukit Nanas di Kuala Lumpur selama 60 tahun dengan premium RM1,000, tertakluk kepada syarat penggunaan tertentu.
Katanya, keputusan tersebut dibuat susulan desakan orang ramai supaya sekolah berkenaan dipelihara, termasuk gesaan Ahli Parlimen Bukit Bintang daripada DAP, Fong Kui Lun.
“Walaupun keadaan kedua-dua kes tidak sepenuhnya sama, prinsip pemeliharaan institusi bersejarah dengan premium nominal telah diterima di bawah pentadbiran terdahulu.
“Mengapa pemeliharaan institusi bersejarah tiba-tiba menjadi kontroversi hanya kerana keputusan sekarang dibuat ketika seorang menteri DAP bertanggungjawab?” soalnya.
Beliau berkata, kerajaan MADANI juga wajar memberikan pertimbangan sama kepada mana-mana tapak warisan atau institusi lain yang layak menerima bantuan sedemikian tanpa mengira latar belakang kaum atau komuniti.
Menurutnya, usaha memelihara warisan negara tidak sepatutnya dianggap sebagai tindakan mengutamakan sesuatu kaum berbanding kaum lain.
Sehubungan itu, Ben Fong menggesa pihak yang mengeksploitasi isu berkenaan supaya menghentikan tindakan membangkitkan sentimen perkauman demi kepentingan politik.
Katanya, KLSCAH sepatutnya menjadi lambang kerjasama politik antara masyarakat Melayu dan Cina yang membantu membentuk negara, bukannya dijadikan punca perpecahan kaum.
“Retorik tidak bertanggungjawab seperti ini hanya menimbulkan prasangka dan rasa tidak puas hati antara masyarakat, sekali gus menjejaskan persefahaman serta kepercayaan yang dibina rakyat Malaysia sejak beberapa generasi,” katanya.
Beliau berkata, ketika negara menghampiri sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-70 pada 2027, rakyat Malaysia sepatutnya menilai pencapaian negara dan memperkukuh perpaduan, bukannya kembali terperangkap dalam politik perkauman.
“Sejarah Malaysia adalah milik semua rakyat Malaysia. Ia tidak sepatutnya ditulis semula atau dilupakan secara terpilih demi kepentingan politik,” katanya. – Suara.TV



