KUALA LUMPUR – Pegawai kanan polis dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di Ipoh, pada Rabu selepas mengaku bersalah membunuh pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie pada Disember 2023.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, 47, membayar pampasan RM50,000 kepada bapa pelajar terbabit.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas Mohd Nazri, 47, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan di akhir kes pendakwaan.
Terdahulu, mahkamah meminda pertuduhan asal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304 (b) kanun sama selepas mendapati wujud kes prima facie terhadap tertuduh bagi kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat, lapor Harian Metro di Ipoh.
Tertuduh diperintah menjalani hukuman terbabit bermula dari tarikh ditangkap pada 15 Disember 2023.
Mengikut pertuduhan yang dipinda, tertuduh menyebabkan kematian kepada Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie di persimpangan Jalan Taman Jati 1 Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh diwakili Peguam M Athimulan, Datuk Mior Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Pihak pendakwaan pula diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dengan dibantu oleh Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Monisha Pandey.
Ketika prosiding, bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 58, turut hadir bersama dua lagi ahli keluarga bagi memberi kenyataan impak kepada mahkamah sebelum keputusan dimuktamadkan.
Ketika memberi kenyataan berkenaan, beliau dilihat tidak dapat menahan sebak dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Sementara itu, peguam pemerhati, Mirza Muhaimi Zaidi yang mewakili Muhd Zamrie ketika ditemui di luar perkarangan mahkamah berkata, keluarga mangsa mengucapkan penghargaan kepada semua yang terbabit di sepanjang tiga tahun kes perbicaraan ini berlangsung.
“Kami menghormati keputusan mahkamah yang mulia ini,” katanya.


