KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah beberapa kali meneliti kewajaran penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan seperti yang dilaksanakan oleh negara jiran.
Walau bagaimanapun, pelaksanaannya mempunyai cabaran khususnya dari aspek bidang kuasa, pengumpulan dan pembuktian bukti di luar negara, penentuan liabiliti syarikat serta implikasi terhadap kedaulatan negara lain.
Menurut Menteri NRES Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berhubung dakwaan penglibatan syarikat Malaysia dalam aktiviti pembakaran di Indonesia, NRES bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah meneliti perkara tersebut.
Jelas beliau, berdasarkan penelitian setakat ini, belum terdapat bukti kukuh yang mengesahkan penglibatan syarikat perladangan berkaitan Malaysia sebagai pihak yang menyebabkan kebakaran berkenaan.
“Mengenai cadangan sekatan pembiayaan terhadap syarikat yang terbukti bertanggungjawab, perkara ini memerlukan penelitian lanjut khususnya dari aspek asas perundangan, standard pembuktian, bidang kuasa dan implikasi terhadap sektor kewangan.
“Berhubung cadangan tuntutan pampasan dan ganti rugi pula, Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) pada masa ini tidak memperuntukkan mekanisme khusus bagi tuntutan pampasan antara negara.
“Walau bagaimanapun, kerajaan terbuka untuk meneliti kesesuaian mekanisme perundangan lain tertakluk kepada asas undang-undang antarabangsa,” katanya ketika ucapan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat dasar, di Dewan Rakyat pada Rabu.
Dalam aspek ini jelas Arthur, kajian komprehensif terhadap kerugian ekonomi akibat jerebu, termasuk kesannya terhadap kesihatan awam, produktiviti dan aktiviti ekonomi, adalah penting sebagai asas saintifik dan ekonomi bagi pertimbangan dasar serta tindakan susulan.
“Sementara itu, cadangan bantuan kewangan kepada rakyat yang terjejas, khususnya pekerja sektor gig, serta penubuhan Tabung Bencana Jerebu memerlukan penelitian lanjut bersama kementerian dan agensi berkaitan dengan mengambil kira mekanisme bantuan sedia ada, keperluan sebenar serta implikasi kewangan kerajaan.
“Sehubungan itu, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama penguatkuasaan melalui saluran dua hala dan ASEAN, termasuk menggalakkan pelaksanaan prinsip polluter-pays sebagaimana digariskan dalam Second ASEAN Haze-Free Roadmap (2023–2030) di bawah AATHP,” katanya.
Tegas Arthur, pendirian kerajaan adalah jelas bahawa mana-mana pihak yang terbukti bertanggungjawab menyebabkan pencemaran jerebu perlu dikenakan tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Pada masa yang sama, kerajaan akan terus meneliti mekanisme yang bersesuaian bagi memperkukuh prinsip kebertanggungjawaban pencemar serta melindungi kepentingan rakyat yang terjejas,” ujarnya.



