SEREMBAN – Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyatakan sokongan penuh terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, susulan kenyataan beliau yang menegur campur tangan pihak tertentu dalam isu peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.
Ketuanya, Mohamad Fadil Md Zin berkata, tidak sepatutnya ada mana-mana pihak mempertikaikan secara terbuka keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti kerana tindakan sedemikian hanya membuka ruang kepada musuh politik mengambil kesempatan.
“Pemuda UMNO Negeri Sembilan ingin menegaskan agar tidak ada mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan keputusan yang telah dibuat pucuk pimpinan parti secara terbuka kerana ini akan membuka ruang kepada musuh politik yang memang menantikan peluru dari kita sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sebarang teguran atau kritikan terhadap kepimpinan hendaklah disalurkan melalui mekanisme dalaman parti dengan mengetepikan kepentingan peribadi serta mengutamakan kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, Mohamad Fadil mengingatkan supaya pihak yang ingin mengemukakan kritikan atau persoalan berbuat demikian secara tertib dan tidak memperlihatkan sikap biadab.
“Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyeru supaya sebarang kritikan mahupun persoalan perlu dibuat secara tertib dan tidak dilihat biadab,” katanya.
Kenyataan itu menyusul teguran Zahid terhadap campur tangan anak Ismail yang mempersoalkan pengumuman rasmi Barisan Nasional (BN) berhubung peletakan jawatan bapanya.
Terdahulu, Zahid dilaporkan mempersoalkan tindakan ahli keluarga mencampuri urusan berkenaan dengan menyebut, “Anak-beranak campur apa hal?”
Kenyataan Presiden UMNO itu mencetuskan perhatian susulan pertikaian mengenai proses peletakan jawatan Ismail serta peranan kepimpinan parti dalam menentukan hala tuju pentadbiran Negeri Sembilan.
Mohamad Fadil bagaimanapun menegaskan Pemuda UMNO Negeri Sembilan tetap yakin terhadap kebijaksanaan kepimpinan parti dalam membuat keputusan.
“Pemuda UMNO Negeri Sembilan yakin dengan kebijaksanaan pimpinan parti bagi membuat keputusan dan percaya bahawa apa juga keputusan yang akan dibuat nanti adalah demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau turut menegaskan sokongan terhadap pendirian Zahid supaya tiada pihak mencampuri urusan berkenaan dengan mempertikaikan kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan.
Menurutnya, tindakan sedemikian hanya akan mengeruhkan lagi keadaan ketika isu kepimpinan kerajaan negeri masih menjadi perhatian.
Kenyataan Pemuda UMNO Negeri Sembilan itu hadir ketika polemik peletakan jawatan Ismail terus mendapat perhatian, termasuk persoalan mengenai kedudukan beliau serta hubungan antara keputusan parti dan kuasa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
– Suara.TV



