Ugut Saksi Perbicaraan 1MDB, Kes Lokman Adam Dibicara 14 Disember

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar prosiding komital yang dikemukakan Peguam Negara terhadap bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam pada 14 Disember ini.

Peguam Negara memulakan prosiding komital terhadap Lokman atas dakwaan mengugut seorang saksi dalam perbicaraan kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Saksi itu adalah bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, saksi penting dalam kes berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam semasa dihubungi memaklumkan bahawa prosiding itu akan didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Beliau berkata, Mahkamah Persekutuan juga menetapkan 26 November ini untuk mendengar rayuan Lokman berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya untuk mengetepikan kebenaran diperoleh Peguam Negara di Mahkamah Tinggi bagi memulakan prosiding komital terhadapnya.

“14 Disember ditetapkan sebagai tarikh untuk mendengar prosiding komital jika Lokman gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan.” katanya.

Pada 14 Januari lalu, Sequerah, menolak permohonan Lokman selepas berpendapat kenyataan Peguam Negara adalah jelas dan mencukupi ketika ia dibawa kepada perhatian responden (Lokman).

Pada 22 Oktober tahun lalu, Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman bagi perbuatan menghina mahkamah yang dilakukan dua kali pada 25 September tahun lalu.

Thomas, yang dilantik sebagai Peguam Negara untuk tempoh dua tahun pada 4 Jun, 2018 oleh perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali, meletak jawatan pada 29 Feb lepas.

Thomas memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor dengan memohon supaya responden dipenjara atau didenda atas perbuatannya.

Thomas pada 25 September tahun lalu mendakwa Lokman dalam temu bual video mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut Amhari Efendi kerana memberi keterangan dalam perbicaraan kes Najib di Mahkamah Tinggi.

Tujuan tindakan responden, kata Peguam Negara, adalah untuk mengganggu dan mengugut Amhari Efendi, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap Najib pada perbicaraan kes 1MDB. – BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat