Pendedahan Tajuddin perjelas ‘ejekan’ Anwar cukup majoriti jadi PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pendedahan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menjelaskan Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai majoriti sokongan ahli Parlimen untuk rampas semula kerajaan.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ejekan sebahagian khalayak yang melantunkan kata-kata kononnya Anwar berbohong apabila menyatakan bahawa beliau mempunyai sokongan yang kukuh dan meyakinkan pada 22 September 2020 telah pun terjawab dengan sendirinya.

Justeru menurut beliau, kenyataan Tajuddin semalam mengabsahkan ikhtiar PH untuk mengambil semula mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum 2018.

“Kenyataan Tajuddin menjelaskan bahawa memang benar PH dan Anwar mempunyai jumlah sokongan ahli-ahli Parlimen yang mencukupi untuk merampas semula kerajaan selepas mandat rakyat dikhianati melalui langkah Sheraton.

“Kenyataan Tajuddin semalam juga menzahirkan bahawa pengkhianatan dan agenda peribadi telah pun menggagalkan usaha dan ikhtiar untuk merampas semula Putrajaya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Shamsul Iskandar menegaskan, sewajarnya kita sama sekali tidak boleh memberi ruang dan berkompromi kepada pimpinan yang telah dituduh dan disabitkan di mahkamah dengan amalan rasuah dan penyelewengan yang menjijikkan.

“Mereka mesti mempunyai hari mereka di mahkamah kerana undang-undang mesti dibenarkan untuk mengambil jalannya,” katanya.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak pada sidang media semalam mendedahkan bahawa wujudnya SD dalam kalangan ahli Parlimen parti itu bagi menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu juga menggesa supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya secara terhormat demi kepentingan parti.

Pada September 2020, Anwar menyatakan keyakinan mempunyai majoriti hampir dua pertiga Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu, sekali gus menumbangkan kerajaan yang ketika itu dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, Anwar turut membuat kenyataan sama pada Februari 2020, apabila optimis beliau memiliki sokongan mencukupi untuk dipilih sebagai Perdana Menteri kelapan ketika itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat