Malaysia, Australia Komited Perkukuh Kerjasama dan Perkongsian Strategik

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Malaysia dan Australia mengesahkan komitmen untuk saling meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang yang menjadi kepentingan bersama, didorong Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata beliau dan rakan sejawatannya dari Australia Penny Wong telah membincangkan secara mendalam mengenai pelbagai bidang pertumbuhan positif yang mampu dicapai di bawah CSP.

Bidang itu termasuk ekonomi, hubungan rakyat dengan rakyat, teknologi serta kestabilan dan keselamatan di rantau ini, terutama dalam tempoh pasca pandemik COVID-19.

“Kami menzahirkan kegembiraan terhadap perkembangan positif dalam hubungan kerjasama pelbagai bidang, terutamanya dalam tempoh pasca pandemik COVID-19.

“Malaysia yakin semua usahasama yang dilakukan di bawah perkongsian itu akan menyumbang secara signifikan ke arah menyokong rantau ini kembali bangkit berdepan cabaran akibat wabak itu,” katanya pada sidang media bersama Wong di pejabatnya di sini, pada Selasa.

Terdahulu, Saifuddin dan Wong mengadakan mesyuarat dua hala yang merangkumi perbincangan mengenai pelbagai topik berkaitan kedua-dua negara serta mengenai isu semasa serantau dan global.

Malaysia dan Australia meningkatkan hubungan dua hala mereka kepada CSP pada Januari, 2021.

Australia juga mewujudkan Perkongsian Komprehensif dengan ASEAN pada tahun lepas.

Saifuddin berkata ekonomi digital dan keselamatan siber adalah antara bidang utama yang perlu diperkukuhkan kedua-dua negara.

Perdagangan dua hala Malaysia-Australia pada 2021 berjumlah US$14 bilion, meningkat 30 peratus berbanding 2020, kata beliau sambil menambah bahawa terdapat “cara untuk meningkatkan jumlah itu”.

Hubungan rakyat dengan rakyat merupakan antara bidang yang boleh diperluaskan lagi memandangkan bilangan besar pelajar Malaysia di Australia, kira-kira 12,000 pada masa ini.

Saifuddin berkata beliau telah mengambil maklum mengenai kedudukan Australia dalam bantuan kemanusiaan yang disalurkan kepada Myanmar.

Sementara itu, Wong mengulangi kenyataan Saifuddin, Malaysia dan Australia akan berusaha untuk membawa momentum yang lebih besar kepada perkongsian itu untuk bergerak lebih maju.

Beliau berkata Australia bersedia untuk terus menjadi pembekal gandum dan daging kepada Malaysia, terutamanya di saat gangguan bekalan global.

“Sebagai rakan strategik komprehensif, kami akan bekerjasama dengan Malaysia dalam sebarang isu membabitkan kekangan bekalan yang timbul akibat konflik (Ukraine-Rusia),” katanya.

Sebagai sebahagian daripada lawatan kerja tiga harinya ke Malaysia, Wong anak kelahiran Sabah juga akan bertemu dengan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ke Kota Kinabalu esok.

Sebelum tiba di Malaysia, Wong mengadakan kunjungan ke Vietnam.

Selepas pelantikannya sebagai menteri luar pada awal bulan ini, beliau ke Indonesia bersama Perdana Menteri Australia Anthony Albanese. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat