KUALA LUMPUR- Ssmoga menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti, muncullah pilih atur dari segi calon Perdana Menteri dan gabungan parti-parti politik yang berintegriti.

Tokoh Wartawan Nasional, Datuk A. Kadir Jasin dalam catatan terbarunya berkata, tanyalah sesiapa pun, siapa bakal Perdana Menteri selepas pilihan raya umum akan datang, mulut mereka melopong dan pandangan mata mereka kosong. Mereka akan tanya balik, siapa?

“Saya kata, tidak kiralah siapa – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rafizi Ramli, Datuk Seri Mohamad Hasan, Nurul Izzah Anwar atau Datuk Seri Shafie Apdal.

“Takkan lah daripada lebih 30 juta rakyat Malaysia, tidak ada seorang pun layak jadi Perdana Menteri? Takkan nasib Malaysia selamanya begini,” soalnya.

Menurut A.Kadir, perang dalam UMNO, tuduhan jenayah yang semakin banyak ke atas ketua-ketuanya, “peran” Datuk Seri Najib Razak yang semakin menjadi-jadi, kerajaan yang terumbang-ambing dan pembangkang yang tidak meyakinkan adalah antara manifestasi maladi politik Malaysia yang bertambah teruk.

“Dikatakan pula, dengan sokongan Najib, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ramai lagi Ahli Parlimen UMNO, Anwar Ibrahim ada majoriti. Kalau dia ada majoriti, pasal apa tidak dilantik jadi Perdana Menteri? Siapa pula yang berkonspirasi?

“Apa dah jadi dengan Malaysia kita ini? Takkanlah Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak Hussein, Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Abdul Razak itu saja yang kita ada?

“Oklah. Kluster mahkamah, tak kiralah parti mana, kita tolak sebelah. Ada antara mereka yang tinggal selangkah saja lagi ke penjara. Tuduhan ke atas mereka ada banyak lagi. Melainkan nasib negara bernama Malaysia ini cukup-cukup malang, diperintah oleh hantu jembalang logiknya mereka ini akan menebus dosa mereka terhadap rakyat jelata dari penjara,” katanya.

Adakah kita akan jadi macam Indonesia pasca-Orde Baru (kediktatoran Suharto)? Selama 16 tahun ia terumbang-ambing daripada seorang Presiden kepada Presiden yang lain sehinggalah Joko Widodo (Jokowi) naik menjadi Presiden pada 2014? Soal beliau lagi.