‘Penggiat seni makan mi segera, ikat perut’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiada kerja bermakna tiada gaji untuk meneruskan kelangsungan hidup. Isu terputus punca pendapatan sudah lama membelenggu warga penggiat seni sejak fasa Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan, sejak tahun lalu.

Bukan sahaja kerja penggambaran sering ditangguhkan, malah keadaan penggiat seni muzik lebih parah apabila persembahan secara terbuka hingga kini masih belum dibenarkan.

Seperti diketahui, golongan artis veteran, aktivis seni dan penggiat muzik paling ramai terkesan dengan cabaran era pandemik COVID-19 yang memasuki tahun kedua.

Namun, nasib golongan penggiat seni tidak pernah terabai, malah menerima pelbagai bantuan dan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli korporat yang bermurah hati bagi meringankan bebanan ditanggung.

Kini, usaha membantu penggiat seni yang terkesan giat dijalankan Fasa 1, Sekatan Pergerakan Penuh di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) hampir sebulan dilaksanakan.

Persatuan Penggiat Seni Malaysia dan Sahabat Jariah tidak ketinggalan membantu menyalurkan sumbangan berupa pek keperluan makanan kepada lebih 200 penggiat dan aktivis seni menerusi pengagihan secara pandu lalu di kafe Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Sabtu lalu.

 

Datuk Tarmimi Ahmad Siregar mohon artis kaya raya berkongsi rezeki dengan pemain kecil dalam industri seni. - NSTP/Rohanis Shukri
Datuk Tarmimi Ahmad Siregar mohon artis kaya raya berkongsi rezeki dengan pemain kecil dalam industri seni. – NSTP/Rohanis Shukri

 

Bantuan dihulurkan tidak hanya khusus untuk golongan artis, malah membabitkan aktivis teater dan pemuzik jalanan yang terputus rezeki sejak pandemik menyerang seluruh dunia, tahun lalu.

Usaha murni dijalankan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) itu mendapat tajaan Yayasan Food Bank Malaysia, Group Amal Akhirat (GAA) dan Kompleks Darul Ehsan Berhad (KDEB) Waste Management.

Selain itu, Persatuan Penggiat Seni Malaysia dan Sahabat Jariah bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta MaTiC.

Pengagihan bekalan makanan selama empat jam bermula 9 pagi itu dihadiri Datuk Tarmimi Ahmad Siregar, U-Wei Saari, Sabri Yunus dan Mubarak Majid.

Ahmad Tarmimi memuji usaha dilakukan penganjur berikutan ramai penggiat dan aktivis seni terjejas sejak pandemik serta pelaksanaan Fasa 1, Sekatan Pergerakan Penuh, PPN.

 

Pengarah prolifik, U-Wei Saari puji usaha penganjur mengutamakan pemuzik jalanan dan pemain teater, namun tidak semua golongan ini mempunyai kenderaan. - NSTP/Rohanis Shukri
Pengarah prolifik, U-Wei Saari puji usaha penganjur mengutamakan pemuzik jalanan dan pemain teater, namun tidak semua golongan ini mempunyai kenderaan. – NSTP/Rohanis Shukri

 

“Kebanyakan penggiat seni tidak bekerja tetap dan hilang punca pendapatan sejak berdepan pandemik COVID-19. Ada yang hanya mampu makan mi segera dan mengikat perut.

“Jadi, usaha penganjur menghulurkan bantuan kepada tenaga kerja kreatif seperti penggiat teater, pemuzik jalanan dan artis veteran amat dihargai

“Hakikatnya, tidak semua golongan artis dan aktivis seni hidup mewah. Orang luar sering kali menganggap golongan seni kaya raya hidup dalam dunia glamor,” katanya kepada BH Online.

Pelakon dan pengarah berpengalaman selama lebih empat dekad itu berkata, dia lebih suka dalam kontek pemberian sumbangan menggunakan terma penggiat seni berbanding artis.

“Apabila gelaran artis nampak besar. Nasihat saya, artis yang kaya raya dan hidup mewah berkongsilah rezeki dengan pemain kecil dalam industri hiburan,” katanya yang mengarahkan drama Ayahanda bakal disiarkan menerusi slot Lestary di TV3, mulai 1 Julai ini.

Bintang filem yang diperkenalkan menerusi filem Permintaan Terakhir pada 1975 itu berharap, ada persatuan khusus yang membela nasib aktivis teater.

“Di Malaysia, ada pelbagai wakil persatuan hiburan, cuma setahu saya untuk aktivis teater belum ada persatuan khusus,” katanya.

 

Sabri Yunus berpandang sama dengan U-Wei Saari agar kerja pengagihan dirancang lebih teratur dan ramai dapat dibantu. - NSTP/Rohanis Shukri
Sabri Yunus berpandang sama dengan U-Wei Saari agar kerja pengagihan dirancang lebih teratur dan ramai dapat dibantu. – NSTP/Rohanis Shukri

 

Pengarah prolifik, U-Wei menganggap usaha dilakukan cukup bagus, cuma harus diperhalusi metod atau prinsipnya.

“Usaha membantu satu nilai murni dan digalakkan. Cuma, penganjur harus meneliti banyak perkara termasuk kaedah pengagihan demi kebaikan bersama.

“Saya diberitahu misi bantuan ini lebih mengutamakan artis jalanan termasuk pemain teater, tetapi tidak semua golongan ini mempunyai kenderaan.

“Saya percaya penganjur ada mengaturkan pengagihan terus ke rumah,” katanya.

Sabri Yunus pula berpandangan sama dengan U-Wei supaya kerja pengagihan yang dirancang lebih teratur dan ramai dapat dibantu.

“Usaha membantu golongan penggiat seni terjejas mampu meringankan beban yang ditanggung, Mungkin penganjur boleh mencari kaedah lebih mudah dan menyenangkan semua pihak. Ia termasuklah mewujudkan pusat sehenti pengagihan pek sumbangan.

“Apapun, saya harap usaha ini dapat dilakukan secara berterusan,” katanya.

 

Aktor versatil, Mubarak Majid berpendapat sumbangan diterima sedikit sebanyak mengurangkan bebanan tanggungan keluarga. - NSTP/Rohanis Shukri
Aktor versatil, Mubarak Majid berpendapat sumbangan diterima sedikit sebanyak mengurangkan bebanan tanggungan keluarga. – NSTP/Rohanis Shukri

 

Bagi aktor versatil, Mubarak Majid, sumbangan diterima sedikit sebanyak mengurangkan bebanan tanggungan keluarga.

“Kita sedia maklum ramai terjejas pada era zaman pandemik. Lebih teruk, golongan penggiat seni tidak bergaji tetap. Ada duit apabila bekerja.

“Kecil atau besar sumbangan tidak perlu diperbesarkan. Apa yang lebih utama, ingatan dan inisiatif tangan yang menghulur untuk disalurkan kepada penerima.

“Semoga usaha murni ini akan dipermudahkan dan dapat dilakukan dari semasa ke semasa bagi membantu penggiat seni yang hilang punca pendapatan,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,575FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat