‘Bukan memilih, drama belum keluar’ – Hafidz

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Apabila wajahnya kurang menghiasi drama tempatan, pelakon Hafidz Roshdi, 27, dikatakan memilih tawaran lakonan.

Bagaimanapun, Hafidz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidz Roshdi menepis dakwaan berkenaan, malah menjelaskan drama lakonan banyak belum ditayangkan.

“Saya bukan memilih, tetapi banyak drama belum keluar lagi. Kebanyakan drama yang dibintangi, dua tahun lalu baru sahaja keluar. Drama tahun lalu pun belum keluar lagi,” katanya kepada BH Online.

Pada masa sama, Hafidz turut menepis dakwaan, kesukaran menerima tawaran apabila perlu bersaing dengan pelakon baharu.

“Saya rasa tidaklah sukar sangat bersaing dengan pelakon baharu. Jika sudah tertulis rezeki saya, rezeki jugalah. Jadi, tidak perlu bersaing pun.

“Jujurnya, rezeki saya murah sangat dan diberikan paling banyak peluang meneroka karakter lain daripada watak yang selalu diberikan. Selalunya watak ustaz, suami baik, lelaki teraniaya dan sebagainya.

“Alhamdulillah, saya menerima tiga tawaran drama sebagai hero dalam Fasa 1, Sekatan Pergerakan Penuh di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

 

Hafidz Roshdi bersama isteri dan dua cahaya matanya. - Foto IG Hafidz Roshdi
Hafidz Roshdi bersama isteri dan dua cahaya matanya. – Foto IG Hafidz Roshdi

 

Pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Tundukkan Playboy Itu berkata, dia gementar apabila sudah lama tidak beraksi sebagai hero.

“Saya menimang cahaya mata, tahun lalu. Saya mahu releks sikit, jadi hanya terima watak hero kedua.

“Saya tidak terlalu tertekan memegang watak pembantu. Bagaimanapun, apabila menjayakan watak hero pula sebaliknya, saya jadi risau sikit,” katanya.

Anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu turut berkongsi impian apabila diberi peluang menjayakan watak baharu.

“Antaranya, saya teruja melakonkan watak pesilat dalam sebuah filem. Memang impian saya mahu watak membabitkan ilmu pertahanan. Insya-Allah, saya sedang mempersiapkan diri dan belajar ilmu persilatan untuk penggambaran yang dijangka penghujung tahun ini.

“Saya juga diberi peluang menjayakan sitkom buat kali pertama. Tentunya ia pengalaman menyeronokkan kerana sudah lama teringin membintangi sitkom,” katanya yang sememangnya fokus pada dunia lakonan.

Hafidz ditemui dalam sesi temubual bersama media bagi mempromosikan sitkom pertamanya, Bujang Tampan Selamba, baru-baru ini.

 

Antara babak lucu Hafidz Roshdi bersama PU Azman dan Bell Ngasri dalam sitkom Bujang Tampan Selamba. - Foto TV3
Antara babak lucu Hafidz Roshdi bersama PU Azman dan Bell Ngasri dalam sitkom Bujang Tampan Selamba. – Foto TV3

 

Mengulas sitkom dijayakan bersama PU Azman dan Bell Ngasri, Hafidz berkata, dia teruja apabila kali pertama diberi peluang bergandingan bersama dua rakannya itu.

“Naskhah kali ini betul-betul berbeza kerana saya bergandingan dengan pelawak dan ustaz. Saya pelakon drama diberi tugasan berlakon dengan pelawak dan ustaz, ia jadi berbeza.

“Saya ambil masa dua hari membina keserasian berikutan cara bekerja lain. Saya sudah terbiasa dengan skrip, manakala Bell pula main bantai sahaja, jadi nak memahami caranya bukan mudah.

“Bagaimanapun, saya suka sebab apabila berlakon sitkom saya boleh sesuka hati. Jika berlakon drama, saya perlu ‘control macho’, tetapi kali ini, saya ikut sahaja.

“Pengarah dan penerbit memberi kebebasan untuk kami melakukan apa sahaja. Maksudnya, kami boleh buat dialog sendiri dan tidak perlu ikut skrip. Itu yang menyeronokkan berlakon sitkom,” katanya.

Sitkom Bujang Tampan Selamba menemui penonton sejak 23 Jun lalu ditayangkan setiap Rabu, jam 9.30 malam di TV9.

Sementara itu, mengulas cabaran ketika pandemik COVID-19 ini, Hafidz tidak menafikan dirinya juga terkesan.

“Saya turut terkesan, tetapi saya syukur sebab saya bukanlah meriah sangat dari segi pemakaian dan sebagainya. Apa yang saya pakai biasa sahaja.

“Lagipun, komitmen bulanan saya tidak tinggi. Saya tidak tahulah artis lain, tetapi saya pakai biasa sahaja, jadi bolehlah bertahan dengan duit simpanan, Alhamdulillah,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat