Boleh pilih jenis vaksin di MySejahtera – KJ

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Orang ramai tidak lama lagi boleh memilih jenis vaksin yang mereka kehendaki,” kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Malah kata beliau, pihaknya sedang meneliti untuk memberikan pilihan itu kepada orang ramai melalui aplikasi MySejahtera.

“Saya sedang melihat satu kemudahan yang mungkin diberi kepada orang ramai di mana boleh buat pilihan pada vaksin yang mereka akan terima melalui sistem MySJ yang akan ditambah baik tak lama nanti,” katanya kepada wartawan semasa sidang media secara maya, semalam.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu mengadakan sidang media berkenaan untuk memaklumkan perkembangan terkini mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), susulan pendaftaran untuk vaksin AstraZeneca semalam.

Sejak PICK dimulakan pada Februari lalu, penerima tidak diberi pilihan untuk memilih jenis vaksin yang mereka terima.

Pengecualian kemudiannya dibuat bagi vaksin AstraZeneca apabila kerajaan mengeluarkan vaksin itu daripada senarai PICK kerana kebimbangan pihak tertentu mengenai kes pembekuan darah yang dilaporkan di kalangan penerima di negara lain.

Untuk rekod, setakat ini, hanya tiga vaksin daripada tiga pengeluar yang telah dipersetujui oleh pihak berkuasa kesihatan Malaysia, iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

Khairy memberitahu wartawan bahawa Jawatankuasa Pasukan Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) masih meneliti kaedah yang akan digunakan dan menjangkakan lebih banyak perkembangan akan dimaklumkan dalam tempoh dua minggu.

Antara yang sedang diteliti termasuk memberikan pilihan kepada pengguna MySejahtera untuk memilih tarikh janji temu dan tempat bagi menerima vaksin.

“Kita nak prosesnya semudah yang boleh,” katanya.

Menteri itu juga menegaskan tiada lagi tempahan dalam talian melalui laman sesawang seperti yang dilakukan bagi pendaftaran AstraZeneca semalam, dengan mengatakan mereka telah belajar daripada kelemahan tersebut.

Untuk rekod, CITF dan Khairy sendiri menerima banyak kritikan sejak semalam apabila sistem yang digunakan bagi proses pendaftaran vaksin AstraZeneca mengalami masalah teknikal.

Keadaan ini menyebabkan ramai yang tidak mendapat slot temu janji untuk mendapatkan vaksin berkenaan.

Khairy juga memberitahu pihak media bahawa kerajaan juga telah membuat keputusan untuk memasukkan semula vaksin AstraZeneca dalam senarai PICK.

Ini bermaksud vaksin berknaan tidak lagi akan diberikan hanya kepada mereka yang bersetuju menerimanya.

Keputusan itu dibuat kerana AstraZeneca telah mendapat kepercayaan dan penerimaan orang ramai, kata Khairy memetik Malaysiakini.

“Kalau kita melihat kepada keputusan kaedah opt in, ia dibuat bila ada keengganan di kalangan masyarakat untuk menerima vaksin AstraZeneca disebabkan beberapa berita kaitkan dengan pembekuan darah.

“Bagaimanapun lepas tengok sambutan memberansangkan dalam opt in, kita lihat tahap keengganan terhakis dan tak lagi meragui vaksin ini

“Dan sekarang AstraZeneca diterima dengan baik oleh masyarakat kita. Lepas ni kita akan buat keputusan bahawa bulan-bulan akan datahg kita tidak lagi akan laksana secara opt in, sebaliknya kembali dimasukkan dalam senarai arus perdana PICK,” katanya.

Sementara itu, mengenai kekecohan yang berlaku semasa pendaftaran AstraZeneca semalam, Khairy berkata siasatan sedang dilakukan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia atau Mampu.

Khairy berkata dia juga maklum ada pihak yang mengaitkan masalah tersebut dengan perbelanjaan sebanyak RM70 juta, yang didakwa diperuntukkan untuk membina sistem pendaftaran berkenaan.

Khairy bagaimanapun menafikan perkara itu dan sebaliknya menyatakan RM70 juta yang diperuntukan termasuk pengurusan PICK, pembangunan dashboard pelaporan harian PICK, pengurusan logistik, pusat panggilan serta integrasi sistem bagi menghubungkan pangkalan data MySejahtera dengan sistem sedia ada.

“RM70 juta tu bukan hanya untuk laman web saja tapi liputi semua yang saya senaraikan dalam kenyataan rasmi sebelum ini. Itu pun siling, tak semestinya perbelanjaan sebenar,” katanya.

Mengenai aduan pengguna MySejahtera yang mengatakan mereka diberi janji temu untuk menerima vaksin AstraZeneca walaupun tidak membuat pendaftaran, Khairy berkata secara teknikalnya ia adalah mustahil.

Menurutnya, pengguna mungkin didaftarkan oleh pihak ketiga tanpa persetujuan mereka.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat