Cadangan untuk mengenakan caj kesesakan di bandar-bandar utama tidak akan menyelesaikan masalah lalu lintas.
Menurut Senator dari MIC Datuk C Sivaraj, kebanyakan pengguna kenderaan terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas dan tidak mempunyai pilihan lain.
“Kerajaan mesti mengakui kebenaran yang mudah, rakyat Malaysia tidak menempuh kesesakan lalu lintas untuk berseronok.
“Mereka berbuat demikian kerana mereka tidak mempunyai alternatif lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang berkata kerajaan percaya caj kesesakan boleh membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas sebanyak 20 peratus, malah akan dapat membantu mengurangkan kerugian berbilion Ringgit.
Zaliha berkata kerajaan telah mengenal pasti tiga bandar utama yang berpotensi dikenakan caj kesesakan iaitu Kuala Lumpur, Georgetown dan Johor Bahru.
Sivaraj berkata di Kuala Lumpur, kecekapan dan kekerapan sistem pengangkutan awam masih tidak memuaskan.
“Dalam keadaan sebegitu, mengenakan caj kesesakan bukanlah penyelesaian, ia adalah hukuman kepada mereka yang semata-mata ingin keluar bekerja dan mencari rezeki,” katanya.
Dia berkata membandingkan bandar seperti London dan Singapura juga adalah mengelirukan, memandangian bandar-bandar tersebut telah mempunyai sistem pengangkutan awam bertaraf dunia sebelum mengenakan caj kesesakan.
Selain itu, katanya akan ada kesan domino daripada caj sedemikian, termasuk tambang e-hailing dan penghantaran makanan akan menjadi lebih mahal serta peningkatan kos logistik yang pasti akan merugikan pengguna akhir.
Sementara itu, Sivarraajh juga mencadangkan kerajaan tidak mengenakan caj kesesakan, sebaliknya memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan yang akan mengurangkan beban rakyat dan menjana lebih banyak pendapatan kepada kerajaan.