KUALA LUMPUR – Umat Islam diseru supaya memanfaatkan bulan Ramadan dengan berpuasa daripada fitnah politik, fitnah perkauman, dan fitnah agama yang menyuburkan budaya kebencian dan permusuhan.
Menurut Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa Ramadan menjadi bulan terbaik ‘berpuasa daripada fitnah politik’.
Hal ini katanya disebabkan politik Malaysia sentiasa digegarkan isu panas yang lebih merupakan fitnah dan kelicikan taktik.
“Saya menyeru kepada semua pihak supaya kita mengambil kesempatan sempena Ramadan ini untuk kita berpuasa dari fitnah politik, fitnah perkauman, dan fitnah agama yang menyuburkan budaya kebencian dan permusuhan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, Ramadan bukan sahaja menghalang diri daripada makan dan minum, malah wajib menghalang mulut menularkan perasaan dendam dan benci sesama insan.
“Jadikan majlis berbuka sebagai talian silaturahim dengan kita bersikap ‘Rahmah’ rentas kepartian dan kelompok,” katanya.
Senator itu berkata, sememangnya tujuan atau syariat berpuasa untuk membebaskan diri daripada kitaran akhlak yang keji ke arah akhlak terpuji, jika tidak apa yang diperoleh daripada ibadat tersebut hanya lapar dan dahaga.
Katanya, Ramadan mendidik supaya menghayati makna hidup yang mulia.
“Saya mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat kita berpuasa daripada menyebarkan fitnah dan selamat kita berpuasa dari perasaan kebencian dan permusuhan sesama kita,” katanya.