PM Seru Gabungan NGO Main Peranan Pastikan Kesejahteraan Keluarga Malaysia

- Advertisement -

CYBERJAYA – Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Keluarga Malaysia dan Yayasan Generasi Malaysia diseru untuk turut sama memainkan peranan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dalam memastikan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan kerjasama NGO dan pihak berkaitan ia akan membolehkan negara mencapai kemakmuran dan keamanan, sekali gus mampu meningkatkan lagi Indeks Kebahagian Malaysia.

“NGO tidak harus bersikap tunggu dan lihat tetapi perlu lebih proaktif dan bertindak menerusi ahli-ahli bagi membantu mengurangkan sebarang cabaran yang dialami Keluarga Malaysia.

“Justeru, saya berharap agar semua NGO menubuhkan kumpulan atau bergabung untuk membentuk sebuah kumpulan yang lebih besar dan berpengaruh untuk tujuan tersebut,” kata Perdana Menteri dalam ucapannya di majlis makan malam Gabungan NGO Keluarga Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, sebentar tadi.

Ismail Sabri juga menyambut baik usaha memperkenalkan Anugerah Kepimpinan kepada pemimpin–pemimpin NGO yang berkaliber dan berkarisma bagi mengiktiraf kerja-kerja kebajikan dan sosial yang dilakukan NGO berkenaan.

“Anugerah ini mendapat kerjasama Majlis Profesor Negara yang akan membuat penilaian terhadap NGO-NGO mengikut 20 kategori yang dikenal pasti setakat ini.

“Kira-kira 30 sehingga 50 NGO akan disenarai dan diteliti serta disenarai pendekkan sebelum dimuktamadkan sebagai penerima.

“Saya berharap dengan adanya anugerah ini akan menyuntik semangat kepada NGO-NGO untuk melipatgandakan program masing-masing bagi menjamin kebahagiaan Keluarga Malaysia.

“Insya Allah, Kerajaan akan berusaha dan membantu NGO dalam pelbagai cara,” katanya.

Di majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah NGO Malaysia 2022 kepada pemenang antaranya Tan Sri Aseh Che Mat yang dinobatkan sebagai Tokoh NGO Pesara.

Turut menerima anugerah ialah Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong sebagai Tokoh NGO Perpaduan dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan selaku Tokoh NGO Kepenggunaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,592FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat