KUALA LUMPUR – Pemilik atau Pengarah Cyber Village Sdn Bhd yang memperoleh kontrak pembangunan platform digital THiJARI bernilai RM4.53 juta pada 2019 tidak mempunyai sebarang hubungan dengan kepimpinan Lembaga Tabung Haji (TH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, perkara itu sekali gus menjelaskan bahawa tiada konflik kepentingan dalam penganugerahan kontrak berkenaan yang dilaksanakan menerusi proses tender mengikut peraturan perolehan TH.
Menurutnya, semakan profil pegangan syarikat turut dilaksanakan sepanjang proses perolehan bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan.
“Dalam hal ini, tiada konflik kepentingan dalam penganugerahan kontrak kepada syarikat Cyber Village Sdn Bhd kerana pemilik atau pengarah syarikat tersebut tiada hubung kait dengan kepimpinan TH dan terpilih melalui tender dengan kos projek yang paling kompetitif,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen bagi menjawab pertanyaan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai).
Idris sebelum itu meminta penjelasan sama ada TH menjalankan semakan konflik kepentingan berhubung penganugerahan kontrak tersebut dan sama ada dapatan semakan berkenaan pernah diaudit atau dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, kontrak pembangunan sistem THiJARI dianugerahkan kepada Cyber Village selepas melalui proses tender yang melibatkan enam vendor.
Katanya, pemilihan syarikat itu dibuat berdasarkan kriteria teknikal dan merit yang memenuhi keperluan TH, selain menawarkan kos projek paling kompetitif.
Sementara itu, beliau berkata, pembangunan platform THiJARI merupakan sebahagian daripada usaha TH menambah baik penyampaian perkhidmatan melalui aplikasi digital dan platform dalam talian.
Platform berkenaan telah dimanfaatkan oleh majoriti pendeposit TH sejak 2020.


