Rafizi akui potong gaji menteri kerana gagal, bukan kawal inflasi – Rafizi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Desakan pemotongan gaji menteri ialah satu isyarat daripada rakyat bahawa menteri-menteri telah gagal menjalankan tugas menguruskan ekonomi sehingga kenaikan harga tidak terkawal dan menekan rakyat.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengakui gesaan pemotongan gaji dan elaun menteri tidak dapat mengawal inflasi sebaliknya ia cuma isyarat kegagalan menteri menjalankan tugas sehingga rakyat terpaksa menanggung beban akibat kemerosotan ekonomi.

Kata beliau, kenyataan Tan Sri Annuar Musa selaku Pengerusi Pasukan Khas “Jihad Tangani Inflasi” yang memperlekehkan desakan agar gaji menteri dipotong akibat krisis kenaikan harga barang adalah bongkak.

“Beliau membentak gesaan itu dengan menuduh kononnya itu satu permainan politik kerana “tidak ada negara yang berjaya turunkan inflasi selepas memotong gaji menteri”.

“Beliau lupa bahawa di negara-negara lain, layanan kepada menteri-menteri yang gagal menguruskan ekonomi sehingga menyusahkan rakyat adalah lebih keras dari potongan gaji. Ada yang dipecat, ada yang didakwa, ada yang dipenjarakan.

“Oleh itu, desakan agar menteri-menteri mengambil potongan gaji bukanlah untuk mengurangkan harga barang. Ia perlambangan hasrat rakyat kebanyakan mengenai beberapa perkara berhubung kemelut kenaikan harga barang sekarang,” jelas Rafizi dalam kenyataan semalam.

Hujah lain yang dikemukakan beliau antaranya ialah potongan gaji menteri memaklumkan rakyat bahawa menteri-menteri sensitif kepada kepayahan yang dialami rakyat dan ia satu bentuk solidariti bersama-sama rakyat

“Potongan gaji menteri menghantar isyarat bahawa menteri-menteri juga tidak terkecuali dari penjimatan yang diarahkan kepada penjawat-penjawat awam, jika tidak peruntukan awam dipotong tetapi menteri-menteri tetap menikmati kemewahan yang sama

“Saya berharap lebih ramai pimpinan masyarakat dan orang ramai meneruskan desakan agar menteri-menteri mengambil potongan gaji untuk membentak kembali keangkuhan menteri seperti Annuar ini,” tegasnya.

Hal ini kata Rafizi, jika tidak, mereka hanya akan mempengerusikan jawatankuasa demi jawatankuasa yang mengambil berbulan lama sebelum sesuatu keputusan konkrit diambil.

“Setelah satu keputusan diambil, berbulan pula masa yang diperlukan untuk melaksanakan keputusan.

“Apabila keputusan hendak dilaksanakan, jawatankuasa yang lain pula ditubuhkan untuk mengkaji masalah yang sama.

“Kegilaan ini perlu dihentikan. Hanya melalui desakan rakyat yang kena kepada poket menteri-menteri, barulah mereka berasa keutamaan (“urgency”) untuk mengambil tindakan dengan lebih cepat,” bidas beliau.

Sebelum ini, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, langkah pemotongan gaji dan elaun menteri serta timbalan menteri yang dicadang beberapa pihak, tidak akan menyelesaikan masalah inflasi yang membelenggu negara dan dunia ketika ini.

Bahkan Annuar menegaskan kadar potongan gaji dan elaun anggota Kabinet tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu inflasi dan kenaikan harga barang.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang mengusulkan cadangan pemotongan gaji dan elaun berkenaan untuk ‘berhenti bermain politik’ dan memberi fokus pada kaedah yang benar-benar mampu menyelesaikan isu inflasi secara tuntas.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,593FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat