Anak Saudara Nafi Terima RM2.6 Juta Dari UKSB Bagi Pihak Mahathir

- Advertisement -

PETALING JAYA – Bekas pengerusi dan penasihat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Rahmat Abu Bakar, menafikan menerima sumbangan politik RM2.6 juta bagi pihak bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad seperti didakwa bekas pengurus pentadbiran syarikat itu, David Tan.

Rahmat yang juga anak saudara kepada pengerusi Pejuang itu berkata, beliau ditawarkan untuk mengambil alih 50% saham syarikat itu pada 13 Julai 2018.

“Saya dijanji imbuhan sebanyak RM1.3 juta sebulan sebagai pengerusi dan penasihat. Inilah bayaran yang saya terima dalam bentuk wang tunai. Kemudian saya telah kembalikan wang tunai ini kepada UKSB kerana khuatir dengan asasnya.

“Bagaimanapun, pada 14 Nov 2018, saya meletak jawatan sebagai pengerusi dan penasihat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keputusan meletak jawatan dibuat selepas menerima nasihat Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Abu Kassim Mohamed ketika itu.

“Saya akur kepada nasihat tersebut berdasarkan maklumat bahawa UKSB merupakan syarikat bermasalah. Terkait dengan UKSB akan mendatangkan lebih mudarat.”

Susulan itu, katanya, beliau turut membatalkan niat mengambil alih apa jua kepentingan dalam syarikat berkenaan yang kini terkait dengan perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, semua tindakan diambilnya tercatat dalam surat-menyurat antara dirinya dengan pihak berkaitan, sekali gus berbeza dengan kenyataan Tan yang hanya bersandarkan buku lejar.

“Ini berbeza dengan kenyataan yang dibuat David Tan yang bersandar kepada buku lejar yang merupakan rekod pengurusan UKSB dan tidak ada bukti surat atau pun dokumen,” katanya.

Beliau memberi amaran kepada Tan untuk menarik balik tuduhan berhubung RM2.6 juta itu atau berdepan tindakan susulan.

“Oleh itu, sekali lagi saya tegaskan kenyataan berhubung sumbangan politik berjumlah RM2.6 juta adalah palsu, fitnah dan berniat jahat. Mahathir tidak terlibat dan tidak tahu tentang kaitan saya dengan UKSB.”

Kelmarin, Mahathir dinamakan antara individu yang menerima derma politik RM2.6 juta dari UKSB untuk partinya ketika itu, Bersatu, selepas pilihan raya umum ke-14.

Tan memberitahu Mahkamah Tinggi ketika perbicaraan rasuah Zahid, wang itu diserahkan melalui anak saudara Mahathir, Rahmat. – FMT

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat